Rabu, 10 Oktober 2007

Memastikan Bekalan Darah Mencukupi


Ramai yang menganggap adalah menjadi hak mereka untuk menerima darah apabila mereka memerlukannya tetapi malangnya tidak bersedia menderma darah untuk membantu orang lain yang memerlukannya.

Rawatan bagi kecederaan teruk, pemindahan organ, pembedahan rumit dan barah mustahil jika ketiadaan darah merah serta komponen-komponennya seperti platelet dan plasma.

Selain daripada itu, mereka dengan penyakit kronik mungkin memerlukan pemindahan darah secara berjadual untuk memastikan kelangsungan hidup mereka.

Hakikatnya ialah terdapat lebih banyak penerima darah berbanding penderma dan bekalan darah yang mencukupi khasnya semasa musim perayaan di Malaysia nampaknya sukar dicapai.

Adalah malang sekali yang permintaan bagi darah lazimnya melampaui bekalan dan juga darah serta komponen-komponennya tidak boleh disimpan bagi tempoh yang lama.

PENDERMA BERKURANG SEMASA MUSIM PERAYAAN DAN CUTI

Sejak beberapa hari yang lepas Pusat Darah Negara menyeru orang ramai supaya menderma darah selepas mengunjurkan bekalan akan berkurang semasa musim perayaan hujung minggu ini dan cuti panjang.

Jadi bagaimanakah kedudukan sekarang ini dan apakah usaha-usaha yang diambil untuk menambah bekalan darah?

"Bukan seperti ubat-ubatan yang boleh dikilangkan, komponen-komponen darah hanya boleh didapati daripada penderma sihat dan ia mempunyai tempoh hayat yang singkat, lima hari bagi platelet, 35 hari bagi sel darah merah dan satu tahun bagi plasma darah yang disejukbekukan," kata Pengarah Pusat Darah Negara Datuk Dr Yasmin Ayob kepada Bernama.

"Kita OK kecuali semasa tempoh-tempoh di mana kekurangan bekalan berlaku seperti musim perayaan dan cuti panjang," katanya.

Bekalan darah khasnya terhad semasa Ramadan kerana penderma, yang majoritinya beragama Islam, mengelakkan daripada menderma dan kekurangan itu lebih ketara semasa cuti panjang musim perayaan kerana mereka yang rajin menderma pulang ke kampung halaman masing-masing, kata Dr Yasmin.

Masalah ini tidak berlaku di Malaysia sahaja dan sehinggakan negara-negara maju pun menghadapi tempoh-tempoh kekurangan bekalan semasa musim perayaan dan cuti termasuk semasa musim panas.

"Kami masih mampu bertahan dan menggunakan stok yang ada tetapi dengan hanya beberapa ratus beg sahaja yang tinggal, keadaan tidak memihak kepada kami. Kami boleh bertahan tetapi ia bukan situasi yang bagus khasnya jika berlaku kecemasan besar. Kami memerlukan penderma darah keluar menderma," kata Dr Yasmin.

STOK BEKALAN DARAH BERKURANGAN

Dr Yasmin berkata di sebalik tanggapan lazim, Pusat Darah Negara di Kuala Lumpur tidak membekalkan darah ke seluruh negara.

"Kami hanya membekalkannya ke Lembah Klang. Biasanya kami menggunakan 2,500 unit setiap minggu tetapi di sepanjang Ramadan kami hanya berjaya mengutip lebih kurang 1,500 unit setiap minggu yang mewakili 60 peratus daripada keperluan kami," katanya.

Semasa Ramadan bermula bank darah mempunyai bekalan 4,000 unit darah selepas beberapa kempen derma darah tetapi semasa mendekati penghujung Ramadan bekalan dalam simpanannya berkurang kepada lebih kurang 2,000 unit.

"Menjelang separuh kedua minggu ini, saya menjangka bekalan berkurang lagi ke 1,000 unit," jelas beliau.

Untuk menangani keadaan ini, sejak awal Ramadan, pusat darah itu telah melanjutkan waktu operasinya dari pukul 7.30 pagi hingga pukul 9.00 malam pada setiap Rabu, Khamis dan Jumaat.

Pada hari-hari berkenaan, pusat darah itu menyediakan juadah buka puasa bagi penderma dan bilangan mereka yang datang untuk menderma adalah menggalakkan.

PUSAT DARAH BERGERAK

Dr Yasmin berkata polis, tentera dan pasukan berpakaian seragam yang lain telah menghulurkan sokongan dengan menghantar orang mereka untuk menderma darah secara berjadual.

Kolej, universiti, pertubuhan sosial dan keagamaan dan juga pertubuhan bukan kerajaan menganjurkan kempen-kempen derma darah untuk membantu kami sepanjang tahun.

Tetapi banyak usaha perlu diambil untuk memastikan bekalan darah yang mencukupi dalam jangka panjang. Oleh itu Pusat Darah Negara secara lazim menggerakkan enam hingga lapan pasukan pusat darah bergerak setiap hari, dan 10 hingga 12 pasukan pada hujung minggu.

Tetapi semasa Ramadan hanya satu atau dua pasukan pusat darah bergerak digerakkan setiap hari, oleh itu kutipan darah berkurang kepada separuh.

"Pasukan bergerak kami sedia datang ke mana-mana jika terdapat lebih daripada 30 penderma. Jika bilangan penderma kurang daripada angka itu, pasukan itu akan menunggu untuk dua jam. Bagi kurang daripada 10 penderma, kita boleh menguruskan pengangkutan untuk membawa mereka ke pusat darah negara dan menghantar mereka pulang dan sedia menunggu penderma yang mahu datang selepas waktu operasi kami," jelas Dr Yasmin.

Beliau menambah kata selain daripada Lembah Klang, lokasi lain yang memerlukan bantuan ialah Perlis, Alor Star, Ipoh dan Johor Baharu. Sehingga ini Pusat Darah Negara belum menerima permintaan bantuan daripada kawasan-kawasan terbabit.

"Lembah Klang adalah kawasan dengan permintaan tinggi kerana terdapat banyak pusat pakar di situ. Kami mengutip 110,000 unit daripada 500,000 unit yang dikutip setiap tahun di seluruh negara. Angka itu merupakan 20 peratus daripada jumlah darah yang dikutip," katanya.

BERGANTUNG KEPADA MASYARAKAT

Dr Yasmin berkata bekalan darah merupakan satu aspek yang bergantung kepada sokongan masyarakat.

"Setiap anggota masyarakat harus menjaga kebajikan anggota lain. Pusat Darah Negara menyampaikan darah itu kepada mereka yang memerlukannya. Kami membekalkan darah itu kepada hospital kerajaan dan swasta," katanya.

Menderma darah merupakan perkara paling penting yang anda mungkin telah lakukan. Ia proses yang mudah dan selamat dan mengambil masa lebih kurang 45 minit sahaja.

Pada amnya, sesiapa yang berusia lebih 17 tahun, dengan berat badan sekurang-kurangnya 45 kg dan dengan taraf kesihatan yang baik boleh menderma darah. Bagaimanapun, seseorang itu perlu menunggu selama lapan minggu sebelum boleh menderma semula.

Pusat Darah Negara ditutup pada Hari Raya hujung minggu ini (13 dan 14 Oktober). Ia akan dibuka semula pada 15 Oktober dari pukul 7.30 pagi hingga 4.00 petang, pada 16 & 17 Oktober dari pukul 7.30 pagi-5.30 petang dan 18 Oktober dari 7.30 pagi hingga 8.00 malam.

Bagi maklumat lanjut, sila hubungi 03-26933888.

Oleh Soraya Jamal
Bernama