Rabu, 10 Oktober 2007

Membelah Angkasa


Malaysia membuka episod baru dalam lipatan sejarah negara apabila angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dengan roket Soyuz TMA-11 buatan Rusia.

Beliau berlepas dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan tepat pukul 7.21 malam tadi (9.21 malam waktu Malaysia) dan dengan kelajuan 26,000 kilometer sejam, roket Soyuz itu meluncur ke orbit hanya dalam masa sembilan minit.

Kejayaan menghantar angkasawan negara itu menandakan satu lagi pencapaian di peringkat dunia yang mampu diraih rakyat Malaysia.

Selain Sheikh Muszaphar, misi kapal angkasa lepas seberat 7,170 kilogram itu disertai Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan Yuri Malenchenko dari Rusia.

Bukan itu sahaja, Sheikh Muszaphar juga mencatat sejarah sebagai angkasawan Islam pertama yang berpuasa dan menyambut Aidilfitri di angkasa lepas, yang berada pada kedudukan 333 kilometer dari muka bumi dengan jangkaan tiba ke ISS selama dua hari.

Siaran lansung di dalam kapsul roket Soyuz itu turut memperlihatkan tiga angkasawan itu berada dalam keadaan tenang dan membaca buku log penerbangan semasa perjalanan di orbit pada kelajuan 8 kilometer per saat.

"Saya tidak sabar untuk melihat bumi dari dalam roket, sudah tentu ia cantik apabila dilihat dari situ, terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana menaja perjalanan ini," tambah Sheikh Muszaphar yang merupakan angkasawan Islam ke sembilan.

Di Malaysia, berjuta-juta rakyat menonton pelepasan itu yang disiarkan secara lansung melalui media elektronik khususnya televisyen, d RTM1, TV3 dan ASTRO 588 dan beberapa skrin yang ditempatkan di lokasi strategik di ibu negara.

Ia turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu majlis khas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bersama timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Kong Cho Ha dan 280 pelajar.

Ketiga-tiga angkasawan itu akan berada di ISS selama sembilan hari dengan Sheikh Muszaphar mengadakan tiga komponen penting iaitu sel dan mikrob di angkasa serta pengkristalan protein.

Turut menyaksikan pelepasan angkasawan negara itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Jamaludin Jarjis dan kedua-dua ibu bapa Sheikh Muszaphar, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor dan Datin Zuraida Sheikh Ahmad.

Penerokaan manusia ke angkasa lepas bermula pada April 1961 apabila angkasawan pertama Yuri Gagarin membuat pusingan bersejarah mengelilingi bumi dengan masa 108 minit, menggunakan kapal angkasa Vostok 1 seberat lima tan.


Kosmo 11 Oktober 2007