Isnin, 7 Januari 2008

Britney dituduh mahu tembak anak, bunuh diri


Bekas suami dakwa penyanyi simpan pistol dalam bilik tidur

LOS ANGELES: Bekas suami Britney Spears, Kevin Federline dilaporkan panik apabila mengetahui penyanyi itu menyimpan pistol jenis Beretta 92FS di bilik tidur utama tempat dia menahan kedua-dua anak mereka Jayden James, setahun dan Sean Preston, 2.

Dia yang percaya Britney akan menggunakan senjata itu untuk membunuh anak mereka sebelum membunuh diri sendiri, menghubungi peguamnya yang kemudian memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Sumber yang rapat dengan kedua-dua mereka berkata Britney dibenarkan keluar dari hospital malam tadi selepas dikatakan mengamuk.

Britney yang terbabit dalam pertelingkahan hak penjagaan anak dengan Kevin sepatutnya menyerahkan anak mereka kepada bekas suaminya petang Khamis lalu, lapor tabloid News of The World.

Bagaimanapun Kevin mula curiga apabila penyanyi itu menghubunginya dalam nada marah berkata dia enggan menyerahkan mereka dan menawarkan untuk 'membeli' kedua-dua kanak-kanak itu.

"Britney berkata Kevin boleh mendapat AS$100 juta (RM330 juta) jika dia bersetuju menyerahkan kedua-dua kanak-kanak itu dan berjanji tidak akan menemui mereka lagi.

Sumber itu berkata, Kevin memberitahu peguamnya bahawa Britney boleh melakukan apa saja dan mengaku dia masih menyimpan dua senapang di rumahnya, sepucuk pistol yang dibeli sebagai hadiah hari jadi dan selaras senapang automatik.

Sebelum polis tiba kira-kira jam 8 malam, Britney membuat panggilan kedua dan meramalkan dia bakal menjadi bahan berita utama di seluruh dunia.

Dia juga menelefon adiknya, Jamie-Lynn, 16, yang menjadi tajuk hangat media selepas mengumumkan dia mengandung, dua tahun lebih muda daripada umur yang dibenarkan di California. Bagaimanapun, Britney tergamam apabila melihat kehadiran polis.

Sumber itu berkata, Britney meraung dan menangis tersedu-sedu sebelum menjadi histeria lalu lari ke dalam almari bilik dan menutup pintu.

Dia hanya duduk di situ menangis dan berteriak selama kira-kira sejam, sebelum ditenangkan dan bersetuju keluar dari almari. Anaknya juga menangis ketakutan. Sementara itu, pegawai di Jabatan Polis Los Angeles mengesahkan tiada sebarang kejadian buruk berlaku dan polis berjaya meleraikan pertelingkahan itu. Kedua-dua kanak-kanak berkenaan kemudian diserahkan kepada bapa mereka.

Selebriti televisyen, Dr Phil McGraw berkata, Britney yang dibenarkan keluar dari hospital memerlukan bantuan psikologi, lapor program Entertainment Tonight dan The Insider dalam kenyataan media.

Bintang pop bermasalah itu dibawa ke Pusat Perubatan Cedars-Sinai oleh paramedik malam Khamis lalu selepas polis dipanggil ke rumahnya kerana pertelingkahan membabitkan dua anak lelakinya bersama bekas suaminya.

- Agensi