Isnin, 7 Januari 2008

Ramai belia di London ketagih ganja


LONDON: Tindakan mengubah kategori kanabis (ganja) adalah sia-sia dan tidak memberi apa-apa makna kepada pengguna dadah muda yang mendapat bekalan daripada rakan sebaya, menurut laporan baru pakar dasar jenayah Britain.

Kanabis adalah aspek terpenting dalam kehidupan golongan belia yang mana generasi baru pengguna kini membekalkan dadah itu, membeli dan kemudian berkongsi dengan rakan dan saudara mara.

Sekumpulan penyelidik dari Institut Penyelidikan Dasar Jenayah (ICPR) diketuai Profesor Mike Hough, penasihat kanan Kementerian Dalam Negeri, membuat kesimpulan bahawa 'bekalan sosial' kanabis hampir keseluruhannya menyekat pengedar dadah tradisional dan justeru memerlukan pendekatan baru.

Penemuan mereka mendapati, 90 peratus pengguna muda boleh mendapatkan kanabis dalam tempoh kurang sehari dengan majoriti boleh memilikinya dalam tempoh sejam.

Hampir dua pertiga menggunakan kanabis sekurang-kurangnya sekali seminggu, membelanjakan purata £80 (RM522.40) sebulan untuk dadah itu. Secara purata, mereka mula mengambil dadah itu seawal 13 tahun dan hampir semuanya diperkenalkan oleh rakan atau saudara mara - dengan hanya satu peratus oleh pengedar.

Hampir separuh atau 45 peratus mengakui membantu memberi bekalan kepada yang lain; 43 peratus mengambilnya di sekolah atau kolej. Lebih daripada separuh atau 54 peratus berkata mereka menggunakan kanabis untuk merehatkan diri.

Lebih 180 pengguna kanabis berusia antara 11 dan 19 tahun ditemuramah oleh penyelidik yang mana penemuan mereka akan diterbitkan oleh Yayasan Joseph Rowntree lewat bulan ini.

- Agensi