Isnin, 14 Januari 2008

Gadis baru Bond pernah hidup susah


LOS ANGELES – Gadis untuk filem James Bond terbaru, Olga Kurylenko dianggap sebagai wanita tabah dan paling glamour dalam sejarah penerbitan filem berkenaan, lapor sebuah akhbar semalam.

Perjalanan seni Kurylenko bukannya mudah dan dia membesar dalam keluarga yang serba kekurangan pada zaman era Kesatuan Soviet sehingga aktres itu terpaksa memakai pakaian bertampal-tampal.

Bakat model berketurunan Ukraine yang berumur 28 tahun itu dikesan ketika dia berumur 13 tahun oleh seorang wanita pencari model yang menaiki kereta api bersamanya di Moscow.

Kurylenko baru-baru ini diumumkan sebagai gadis Bond yang akan berlakon sebagai Camille dalam filem Bond terbaru yang sehingga ini dikenali sebagai Bond-22.

Menurut ibu Kurylenko, Marina Alyabusheva, 50, dia terkejut apabila wanita berkenaan tiba-tiba menyapanya dan menyangka dia mempunyai agenda tersembunyi.

“Saya terkejut kerana seorang yang tidak dikenali tiba-tiba mahu mencari model.

“Dia memberitahu Kurylenko masih muda tetapi dia menyatakan akan menghubungi kami dalam tempoh setahun lagi,” katanya.

Kurylenko kemudian kembali ke Moscow untuk menjalani latihan tetapi ketika berumur 17 tahun dia sudah meninggalkan tanah airnya untuk pergi ke Paris bagi memulakan karier sebagai peragawati.

Ketika kecil Kurylenko terpaksa hidup bersama enam orang dewasa dan kanak-kanak dari keluarga terdekatnya di sebuah flat rakyat di Berdyansk, Ukraine.

“Saya menceraikan bapa Kurylenko sebaik sahaja dia dilahirkan.

“Saya tidak yakin dia akan menjadi seorang ayah dan suami yang baik,” kata ibu aktres itu yang kini bertugas sebagai profesor seni.

– Agensi