LONDON – Seorang ahli perniagaan, Maurizio Remmert akhirnya mengaku bahawa bekas model dan penyanyi pop, Carla Bruni (gambar) yang kini kekasih kepada Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy adalah anak kandungnya, lapor sebuah akhbar semalam.
Pada minggu lepas sebuah akhbar melaporkan bahawa terdapat beberapa khabar angin yang menyatakan bapa bekas model berkenaan bukan hartawan warga Itali, Alberto Bruni Tedeschi seperti yang digembar-gemburkan tetapi seorang lagi jutawan iaitu Maurizio Remmert.
Bagaimanapun, Remmert turut mengakui yang Burni adalah anak hasil hubungan rahsia selama enam tahun bersama ibu wanita berkenaan, Marisa.
Beliau membuat pendedahan itu selepas 40 tahun mendiamkan diri.
Menurutnya, hubungan cinta mereka bermula di bandar raya Turin di Sixties yang mana kedua-duanya menggemari muzik.
Marisa pada waktu itu merupakan seorang pemain piano manakala Remmert pemain gitar klasik.
“Saya tahu yang Burni adalah anak saya sejak dia dilahirkan,” kata Remmert kepada akhbar Estado di Sao Paulo, Brazil yang kini menjadi tempat tinggalnya.
Remmert turut menambah, hubungan cintanya bermula ketika beliau berusia 19 tahun manakala Marisa menjangkau 32 tahun dan ketika itu Marisa telah berkahwin.
“Saya memiliki kisah percintaan yang hebat bersamanya selama enam tahun tetapi saya tetap tidak mendedahkannya sebagai bapa Bruni setelah dia dilahirkan iaitu pada 1967,” katanya.
– Agensi