Rabu, 9 Januari 2008

Majlis Golden Globes dibatalkan


LOS ANGELES – Majlis anugerah Golden Globes pada tahun ini dibatalkan oleh pihak penganjur sekali gus menjadi mangsa pertama akibat tindakan mogok persatuan penulis Hollywood.

Persatuan Akhbar Luar Hollywood (HFPA) dan stesen penyiaran NBC yang mengumumkan keputusan itu semalam turut menyatakan bahawa acara berprestij itu akan digantikan dengan satu sidang akhbar biasa bagi mengumumkan para pemenang.

Keputusan yang mengejutkan itu dilakukan selepas sebahagian besar pelakon Hollywood pada minggu lepas berikrar untuk menyokong usaha persatuan penulis yang mogok bagi menuntut kenaikan gaji dan bayaran royalti.

Secara tradisinya, anugerah itu menyediakan makan malam kepada para tetamu yang diselang seli dengan hiburan serta penyampaian anugerah.

Persatuan HFPA dan stesen televisyen NBC berkata, sidang akhbar selama sejam pada Ahad ini akan bermula pada pukul 6 petang waktu tempatan di Beverly Hills.

“Kami semua sangat kecewa kerana tradisi anugerah Golden Globes tidak dapat diteruskan pada tahun ini,” kata Presiden HFPA, Jorge Camara dalam satu kenyataan akhbar kelmarin.

“Para penerima anugerah Golden Globes akan diumumkan seperti tarikh yang telah ditetapkan,” kata kenyataan itu tanpa memberi penjelasan lanjut mengenai sidang akhbar tersebut.

Satu laman blog industri perfileman, deadlinehollywooddaily.com pada Isnin lalu menyatakan bahawa artis yang berminat masih boleh datang untuk acara ‘permaidani merah’ yang diadakan sebelum sidang akhbar bermula.

Seorang pegawai perhubungan awam sebuah studio perfileman yang enggan namanya disiarkan menyatakan bahawa tidak ramai artis yang akan datang semata-mata untuk menghadiri sidang akhbar.

Para penulis skrip Hollywood berhenti berkarya sejak 5 November lalu selepas persatuan yang mewakili mereka, Writers Guild of America (WGA) gagal mencapai persetujuan bagi memperbaharui terma kontrak baru.

– Agensi