Rabu, 20 Februari 2008

Gempa bumi kuat di Sumatera



ACEH - Satu gempa bumi kuat berukuran 7.2 pada skala Ritcher menggegarkan wilayah Aceh di Indonesia semalam mengakibatkan tiga penduduk terbunuh manakala 25 lagi cedera dan turut mencetuskan amaran tsunami, kata para pegawai.

Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) melaporkan bahawa gempa bumi bawah laut itu berlaku pada pukul 3.08 petang (4.08 petang waktu Malaysia).

Menurut agensi itu, gempa tersebut berpusat 312 kilometer dari barat, barat daya Medan di Sumatera Utara pada kedalaman 34 kilometer.

"Seramai tiga penduduk mati dan 25 lagi cedera parah serta banyak bangunan rosak," kata pegawai di Kementerian Kesihatan, Rustam Pakaya.

"Kebanyakan penduduk juga melarikan diri ke kawasan pergunungan," kata pengarah pusat bantuan bencana di Aceh, Bobby Saputra.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang berpangkalan di Hawaii mengeluarkan amaran tsunami mungkin melanda kawasan pantai yang berada dalam lingkungan 100 kilometer radius dari pusat gempa.

Pusat amaran bencana di Thailand juga mengeluarkan amaran tsunami di pulau peranginan Phuket dan lima lagi wilayah.

Bagaimanapun, seorang pegawai di pejabat meteorologi Indonesia, Suharjono memberitahu bahawa gempa itu tidak mencetuskan tsunami kerana berpusat hampir dengan pantai bukannya di tengah laut.

- AFP