Selasa, 12 Februari 2008

Shah Rukh Khan tak minat ke Hollywood


BERLIN: Pelakon handalan filem Hindi, Shah Rukh Khan, menegaskan beliau tidak berminat mengembangkan karier di Hollywood sebaliknya mencabar sinema Barat supaya mempelajari seni penceritaan kisah dari Bollywood berbanding terlalu bergantung kepada kesan khas. Shah Rukh, yang menghadiri Pesta Filem Berlin, untuk mempromosikan filem blockbuster lakonannya, Om Shanti Om, mempertahankan filem Bollywood, yang dilabelkan sebagai lantang dan terlalu melodramatik oleh penonton Barat. "Kami memang memaparkan diri kami dengan cara agak lantang. Kami mahu orang lain tahu memang filem kami seperti ini dan kami bangga dengannya," katanya.

Beliau berkata, dia mahu membantu membuang beberapa tanggapan salah mengenai filem India di Barat. "Saya mungkin orangnya yang mengikat Eropah dan India menerusi filem," katanya. Di sebalik, kejayaan demi kejayaan dan kemasyhuran yang dinikmati, bintang itu berkata Hollywood tiada dalam senarai untuk mengembangkan kariernya.

"Tiada tempat untuk saya di Hollywood atau dalam sinema Eropah. Saya mahu meneruskan kerja di India dan membawa sinema India ke dunia luar," katanya. Shah Rukh turut memberi amaran terhadap bahaya 'filem diambil alih oleh teknologi' dan menyatakan industri perfileman Hollywood yang lebih maju dari segi teknologi belajar sesuatu mengenai penceritaan kisah dari Bollywood.

- Agensi