MICHEAL (kiri) bersama dari kiri, Ku Mohamad Fadlee, Syed Mohd. Azhar dan Ahmad Irfan memegang pasport masing-masing di Biro Pengaduan MCA di Jalan Ampang semalam.
KUALA LUMPUR - Siapa yang tidak gembira bila dapat bercuti ke luar negara apatah lagi percutian itu bersama rakan-rakan yang disenangi.
Mungkin waktu itu merupakan hari yang paling indah dalam hidup seseorang itu, tetapi tidak bagi tiga sekawan yang terpaksa berputih mata apabila hajat mereka terbantut di tengah jalan.
Ia berlaku selepas ketiga-tiga sekawan itu ditahan di Darwin, Australia kerana pihak berkuasa di negara itu tidak membenarkan mereka iaitu Ku Mohamad Fadlee Ku Hashim, 31, Syed Mohd. Azhar Syed Othman, 26, dan Ahmad Irfan Piee, 31, melancong di negara itu.
Alasan mereka ditahan pula 'pelik' iaitu kerana ketiga-tiga sekawan yang masing-masing bekerja sebagai penerbit buku, operator jentera dan peniaga makanan itu didakwa berkeadaan tidak terurus dan tidak kemas.
Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Micheal Chong berkata, peristiwa malang itu berlaku pada 7 Februari lalu semasa mereka berlepas ke Darwin melalui penerbangan transit di Changi, Singapura.
"Ketiga-tiga mereka memiliki Visa dan mereka merancang untuk bercuti selama dua minggu di negara Kanggaru tersebut,'' kata beliau kepada pemberita di Biro Pengaduan MCA di Jalan Ampang di sini semalam.
Bagaimanapun, menurut beliau, apabila mendarat di negara tersebut pada keesokan harinya, pukul 2 pagi (waktu Australia) mereka terkejut kerana masing-masing tidak dibenarkan masuk ke negara itu oleh imigresen negara terbabit.
Katanya, apa yang membuatkan ketiga-tiga sahabat itu kebingungan ialah alasan pihak berkuasa di negara itu yang memaklumkan mereka tidak kemas termasuk memiliki janggut.
Mereka bagaimanapun dibenarkan menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra di negara itu bagi memaklumkan keadaan mereka di lapangan terbang itu.
"Disebabkan masalah-masalah itu, ketiga-tiga sahabat itu ditahan selama sehari di pusat tahanan sementara lapangan terbang di Darwin untuk menunggu penerbangan pulang semula ke Singapura semula pada 9 Februari,'' katanya lagi.
Bagaimanapun, menurut Michael, sepanjang mereka ditahan, ketiga-tiga sahabat itu dilayan dengan baik termasuk diberi makanan halal.
Tambahnya, setiap negara mempunyai sebab tersendiri untuk tidak membenarkan rakyat asing masuk ke negara mereka dan itulah merupakan nasib malang yang menimpa tiga sahabat malang itu.
Kosmo!