
CUBAAN pembangkang yang diketuai Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk 'membeli' Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan baru, bukan sesuatu yang aneh. Dalam berpolitik, pelbagai kaedah digunakan untuk memenuhi matlamat bagi memperoleh kuasa. Malah, bagi sesetengah pihak, teori politik 'menghalalkan cara' termasuk sanggup melakukan apa saja bagi merealisasikan impian memang boleh berlaku. Jadi tidak hairan kemungkinan kaedah itu diambil walaupun perbuatan itu dianggap tidak bermoral, malah boleh menimbulkan kemarahan atau tidak puas hati rakyat khususnya pengundi yang memilih mereka. Wakil rakyat sepatutnya sedar dan insaf bahawa pengundi adalah faktor utama yang menentukan mereka menang. Justeru, adalah wajar mereka tidak terpedaya dengan pujukan pihak tertentu supaya melompat parti. Dalam hal ini, pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) perlu memastikan calon yang menang terus setia bersama BN. Kenyataan Setiausaha Agung BN dan Umno yang baru, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menghantar kumpulan perisik menyiasat cubaan 'membeli' Ahli Parlimen BN tidak seharusnya sekadar cakap kosong kerana pihak pembangkang juga ada strategi memastikan matlamat mereka menjadi kenyataan.
Kejadian 'membeli' wakil rakyat pernah berlaku sebelum ini, terutama di Sabah, yang membawa kepada tumbangnya kerajaan pilihan rakyat berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terpilih menyeberang parti menyebabkan parti yang menang tipis, terlepas peluang memerintah. Ini berlaku kepada Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1994. Ketika itu beberapa Adun PBS menyeberang parti selepas didakwa `dibeli' menyebabkan kerajaan negeri dipimpin Datuk Joseph Pairin Kitingan terpaksa menyerahkan tampuk pemerintahan kepada BN. Krisis politik di Sabah pada 1990 hingga 1994, menarik untuk diteliti, jika isu `membeli' Yang Berhormat bagi membentuk kerajaan terus menjadi polemik politik. Selain itu, kes sama di Kelantan membabitkan Adun Pas, Nordin Salleh melompat parti pada 1992, turut boleh dikaji untuk melihat kesannya daripada segi perundangan. Kedua-dua negeri terbabit mempunyai undang-undang negeri bagi mencegah kegiatan lompat parti, namun ia masih boleh dicabar di mahkamah.
Malah, Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan turut melindungi mereka yang melompat parti atau menubuhkan pertubuhan baru. Persoalannya, perlukah kita meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan tindakan wakil rakyat melompat parti sebagai menyalahi undang-undang? Jawapannya boleh berubah mengikut kesesuaian semasa. Jika sesuatu parti yang berkuasa ketika itu memperoleh kemenangan tipis selepas keputusan pilihan raya umum dan gagal membentuk kerajaan yang kuat, ia mungkin terselamat kerana peraturan antilompat. Namun untuk tempoh sekarang kerajaan yang memerintah tidak mampu menggubal Perlembagaan kerana tidak mempunyai majoriti yang mencukupi di Parlimen. Kita berpendapat, jika kes 'membeli' wakil rakyat berlaku, ia akan mencetuskan masalah kepada negara.
Dalam pada itu, kita melihat sebarang kemungkinan usaha membeli Yang Berhormat akan terus menjadi isu dalam tempoh terdekat, sama ada ia benar berlaku atau sebaliknya, banyak bergantung kepada usaha parti memerintah untuk memastikan ia tidak menjadi kenyataan. Hubungan erat di kalangan pemimpin BN, khususnya parti komponen kecil terutama di Sabah dan Sarawak perlu diperkemaskan kerana mereka yang bakal menjadi sasaran. Seperti yang kita sebutkan, politik menghalalkan cara, penggunaan wang dan janji manis menyebabkan naluri manusia berubah dalam sekelip mata. Ini perlu diawasi parti berkuasa bagi mengelakkan negara terpalit dalam kancah ketidaktentuan politik, gara-gara sikap `politik rimba' yang menghalalkan cara.
Berita Harian