Umno, BN perlu buat penyesuaian ikut perubahan semasa, puaskan hati rakyat
PENGERUSI Gerakan Perak, Datuk Chang Ko Youn berpendapat Barisan Nasional (BN) harus menjadi satu parti dan tidak lagi terdiri daripada komponen parti seperti sekarang. Beliau mencadangkan Umno, MCA, MIC dan parti lain yang berasaskan kaum dibubarkan. Yang tinggal hanya BN. Beliau juga berkata, politik yang berasaskan kaum tidak relevan lagi masa ini kerana pengundi tidak lagi memilih berdasarkan kaum.
Mungkin kepemimpinan Umno terlalu terkejut dengan keputusan Pilihan Raya Umum 2008 hingga terlepas perhatian kenyataan Chang yang amat mencabar itu. Mungkin juga ada pemimpin dan ahli Umno sendiri bersetuju Umno dibubarkan saja mengikut cadangan pemimpin Gerakan itu. Atau mungkin juga mereka terlalu terperanjat dengan kenyataan itu hingga tidak terkata apa-apa.
Apakah benar politik perkauman tidak relevan lagi? Apakah benar parti yang bertolak dari kaum tidak diterima lagi oleh rakyat negara ini? Apakah ini bermaksud bahawa parti seperti Umno, MCA dan MIC tidak perlu wujud memandangkan pemilih tidak lagi berminat dengan parti yang memperjuangkan kepentingan satu-satu kaum? Apakah ini juga bermakna Umno yang terbentuk atas dasar memperjuang dan membela orang Melayu pada 1946 itu tidak diperlukan lagi?
Soalan lain yang perlu ditanyakan ialah apakah akan wujud sistem dua parti di negara ini selepas ini? Tiap satunya mewakili semua kaum. Soalan itu eloklah dijawab oleh BN dan parti komponen di dalamnya. Banyak pemerhati politik tidak lagi menolak kemungkinan sedemikian menjadi kenyataan.
Nampaknya pilihan raya lalu mengubah semula hukum hakam berpolitik di negara ini. Terlalu banyak perkara di luar jangkaan menjadi kenyataan. Terlalu banyak andaian lama yang perlu dipersoalkan semula. Terlalu banyak kemungkinan boleh berlaku. Gelombang penolakan terhadap BN begitu hebat hinggakan siapa saja - asal bertanding atas tiket parti lain - boleh menang di kebanyakan kawasan.
Apakah Umno belajar daripada peristiwa 2008? Sekiranya Umno masih relevan bagi ahlinya dan orang Melayu, eloklah parti itu melakukan penilaian diri secara serius. Kekebalan Umno ternyata hilang di Kedah, Perak dan Selangor. Malah, di negeri yang paling kuat kubunya seperti Johor, imej Umno juga tercalar. Dua Dewan Undangan Negeri jatuh kepada Pas, kedua-duanya di kawasan bandar - Bandar Maharani dan Sungai Abong. Pas pertama kali menembusi Johor pada 2004 apabila calonnya menang tanpa bertanding di Senggarang. Lebih merunsingkan ialah bilangan undi rosak yang sebegitu besar di Johor - 28,709 untuk kerusi Parlimen dan 25,455 undi rosak bagi kerusi Dewan Undangan Negeri.
Kita selalu diberitahu Umno mempunyai 3.4 juta ahli sehingga Disember 2007. Ada sesuatu yang tidak kena dalam konteks jumlah ini. Pada pilihan raya kali ini, ada 10.9 juta rakyat negara ini yang layak mengundi. Daripada jumlah itu, 70 peratus keluar mengundi atau kira-kira 7.6 juta orang. BN hanya memperoleh 51.2 peratus undi popular atau kira-kira 3.8 juta undi. Sekiranya semua ahli Umno mengundi BN, maka hanya 400,000 'orang lain' (bukan ahli dan mereka dari kaum lain) yang mengundi BN. Hal ini tentulah tidak munasabah.
Dua kemungkinan boleh berlaku: Pertama, bilangan ahli Umno sebenarnya lebih rendah daripada yang selalu disebutkan itu kerana ada kemungkinan angka bertindih. Kedua, banyak ahli Umno tidak mengundi BN kali ini. Secara mudah jika semua ahli Umno mengundi BN, dan sekiranya dua juta penyokong Umno dan ahli parti komponen BN mengundi calon BN, jumlah undi untuk BN kali ini ialah 5.4 juta kali ini atau 71 peratus. Sekiranya itu berlaku, BN akan memperoleh pencapaian terbaik dalam sembilan pilihan raya sebelum ini.
Pencapaian Umno kali ini juga tidak sebaik sebelum ini berdasarkan angka wakil mereka di Parlimen. Umno memenangi 78 kerusi, jumlah yang tidak jauh bezanya dengan pencapaian pilihan raya 1999 apabila Umno menang 72 kerusi. Sayugia diingat, ketika itu hanya adat 193 kerusi dipertandingkan dan bukan 222 seperti sekarang. BN juga hanya hilang satu negeri (Terengganu) dan gagal menawan semula Kelantan. Kali ini BN sekali lagi gagal menawan Kelantan dan kehilangan Kedah, Perak dan Selangor selain terlepas sebahagian besar kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Umno harus menyedari dua perkara penting: Pertama ialah sejumlah 1.4 juta pengundi baru yang tidak mempunyai bagej sejarah dengan parti itu atau BN. Sebahagian besar daripada mereka anak Melayu. Anak muda generasi Starbucks ini mahu suara mereka didengar. Dalam kolum ini, saya pernah menulis mengenai pengalaman MCA mendekati golongan muda (28 Disember 2003). Parti itu menubuhkan sebuah panel bagi menarik generasi muda. Sasarannya ialah mereka yang berusia antara 18 hingga 35 tahun. Mereka menyedari bahawa 70 peratus daripada kira-kira sejuta ahli parti itu sudah berusia 40 tahun ke atas. Mereka sedar 34.2 peratus pengundi di Semenanjung ialah pengundi Cina dan 28.5 peratus daripada jumlah pengundi di Sabah dan Sarawak adalah kaum itu. Kajian itu memeranjatkan MCA. Banyak alasan diberikan mengapa generasi muda tidak berminat menyertai MCA. Soalnya apakah Umno pernah membuat kajian yang sama?
Satu perkara lain ialah kempen pilihan raya yang sudah bertukar corak dan tarinya. Suatu ketika dulu, kempen terbuka menarik perhatian umum. Modalnya ialah janji pembangunan, jaminan kesinambungan dan harapan masa depan. Hari ini, hanya pemimpin pembangkang yang boleh menarik orang ramai pada ceramah terbuka. Kempen politik lebih berkesan ialah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan internet. Pada 2000 ada 3.7 juta pengguna internet di negara ini. Tahun lalu jumlahnya 14 juta orang. Dalam tujuh tahun, Malaysia mencatatkan pertumbuhan 302 peratus pengguna internet. Ketika ini ada lebih tiga bilion laman web di dalam internet, 70 juta daripadanya adalah blog. Pengaruh blog semakin besar dalam dunia siber dan kesannya dalam dalam dunia politik tidak boleh dikesampingkan.
SMS adalah senjata yang nampaknya amat berkesan untuk kempen pilihan raya kali ini. Kita tahu peranan SMS dalam menyebarkan berita dan memberi maklumat ketika ini. Kita harus ingat 39.6 bilion SMS dihantar oleh rakyat Malaysia dari Januari hingga September 2007. Ia bermakna secara purata 144.9 juta SMS dihantar setiap hari. SMS ialah senjata baru menawan hati dan perasaan pengundi.
Kita mendengar banyak alasan diberikan mengenai kegagalan BN dan Umno pada pilihan raya umum 2008. Antaranya kemarahan terhadap isu yang tidak selesai, kenaikan harga barang, salah pilih calon, keangkuhan, keengganan mendengar dan banyak lagi. Umno harus mengubah caranya. Dan membuat penyesuaian dengan kehendak semasa. Kita tidak boleh menyelesaikan masalah abad ke-21 menggunakan minda 50-an dan 60-an. Umno harus menerima jadam yang pahit untuk mengubat sebarang penyakit di dalam dirinya. Pada masa sama, kelengkapan perang untuk melawan musuh masa kini dan depan harus diperbaharui.
Tugas pemimpin dan ahlinya sekarang ialah memperkuat Umno bukan memikirkan perlawanan pada peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi. Perbaikilah bahtera secara bersama ketika bahtera masih boleh diperbetulkan.
Jika semua ini tidak dikendalikan dengan jujur, telahan Chang akan menjadi kenyataan. Umno akan karam dan parti yang dianggap keramat itu akan hanya tinggal sebagai sebahagian sejarah Malaysia.
Datuk Johan Jaafar
Berita Minggu