
WALAUPUN Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), dengan perkenan Sultan Terengganu sudah melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kijal, Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru, isu mengenai pelantikan jawatan itu belum lagi berakhir apabila 22 Adun Barisan Nasional (BN) di negeri itu sebulat suara menolak Ahmad dan mahukan Datuk Seri Idris Jusoh dilantik semula. Mereka juga berpakat memulaukan majlis angkat sumpah Ahmad, 51, sebagai Menteri Besar. Berikutan itu, Ahmad, yang sepatutnya mengangkat sumpah semalam, cuma menerima watikah perisytiharan pelantikan sebagai Menteri Besar yang baru daripada MPPR dalam satu upacara tertutup di Istana Tamu, pagi semalam. Ahmad menerima watikah pelantikan itu daripada Yang Dipertua MPPR, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman dengan disaksikan dua lagi anggota majlis, iaitu Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman. Selasa lalu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam kenyataannya mengenai isu itu berkata, dalam urusan pelantikan Menteri Besar Terengganu, tidak timbul isu perebutan antara Pemangku Raja, Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) atau kerajaan negeri. Gani berkata, pelantikan Menteri Besar adalah proses yang ditentukan undang-undang sebagai mana termaktub dalam Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu iaitu mana-mana orang dilantik sebagai Menteri Besar bukanlah calon Pemangku Raja atau MPPR atau sesiapa juga, tetapi seseorang yang dilantik menurut Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu. Oleh itu, katanya, dalam soal pemilihan Menteri Besar Terengganu, Pemangku Raja dan MPPR adalah terikat kepada undang-undang itu dan sesiapa juga daripada Adun yang pada fikiran Pemangku Raja dan MPPR mendapat kepercayaan kebanyakan Adun itu hendaklah dilantik.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, Terengganu mempunyai 24 Adun, termasuk Idris dan Ahmad, manakala baki lapan Adun lagi adalah daripada Pas. Kini semua 22 Adun itu menyokong Idris, yang bermakna Idris menerima sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). Keadaan itu berbeza dengan Perlis, apabila Raja Perlis melantik Datuk Dr Md Isa Sabu, yang mendapat sokongan majoriti lapan Adun berbanding lima berpihak kepada Datuk Seri Shahidan Kassim, sejajar dengan keperluan mengikut Perlembagaan Negeri, Artikel 39 (2) Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis. Peruntukan itu menyebut Raja hendaklah melantik seorang yang pada fikirannya mendapat kepercayaan ramai ahli menjadi Menteri Besar bagi mengetuai majlis kerajaan negeri. Di Terengganu, keadaannya berbeza kerana semua Adun BN kecuali Ahmad, memberi sokongan padu kepada Idris untuk terus menyandang jawatan Menteri Besar. Walaupun beberapa ketua bahagian Umno dikatakan menyokong pelantikan Ahmad, mereka bukan Adun dipilih menerusi pilihan raya umum.
Kita berharap isu yang sudah berlarutan selama dua minggu ini diselesaikan segera kerana rakyat, selepas memberi mandat kepada BN untuk membentuk kerajaan negeri, tentunya tertunggu-tunggu rancangan kerajaan untuk mereka serta mahu melihat barisan baru Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco). Kita boleh memahami jika kerajaan negeri itu membabitkan parti yang pertama kali diberi peluang memerintah seperti berlaku di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Bagaimanapun, dalam kes Terengganu, BN menang dengan majoriti dua pertiga. Justeru, kita amat berharap agar semua pihak terbabit, mencari jalan menyelesaikan isu ini segera. Sebaik-baiknya biarlah jalan penyelesaian itu memuaskan hati semua pihak. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.
Berita Harian