
Dinosaur Dakota
Mumia dinosaur yang mempunyai paruh seperti burung yang ditemui pada 1999 di Dakota Utara dipercayai menyimpan rahsia tentang fosil dinosaur yang belum terungkai selama ini.
Menurut pakar paleontologi dari Universiti Manchester, England, Philip Manning, spesimen hadrosaur itu (dikenali dengan nama Dakota) tidak seperti penemuan sebelum ini yang kebanyakannya terdiri daripada tulang dinosaur. Sebaliknya, fosil ini mempunyai kulit, ligamen, tendon dan organ dalaman. Fosil yang dipelihara secara semula jadi ini membolehkan saintis mengira jisim ototnya. Dinosaur spesies ini dipercayai mampu berlari dengan lebih pantas daripada Tyrannosaurus Rex.
Saintis menganggarkan berat dinosaur ini ialah 3.18 tan dan panjangnya mencapai 12.19 meter. Ketika ini, para saintis sedang menganalisis fosil di bawah pengimbas tomografi berkomputer (CT Scan) terbesar di dunia yang dikendalikan oleh Boeing Co. untuk mengkaji organ dalaman dinosaur berkenaan.
Dewan Masyarakat