
Sufiah Yusuf
NAMA Sufiah Yusof mula dikenali rakyat Malaysia 11 tahun lalu apabila dia ditawarkan tempat di Kolej St Hilda, Universiti Oxford, England, pada usia 13 tahun. Bukan rakyat Malaysia saja mengaguminya, malah seluruh dunia apabila berita mengenainya terpampang di akhbar seluruh dunia. Sejak itu, media mula mengetuk pintu rumah keluarganya yang pada satu masa digelar sebagai 'keluarga terpintar di Britain'. Kita berminat dan turut berbangga dengan Sufiah kerana ibunya, Halimaton Yusof, rakyat Malaysia yang berasal dari Muar, Johor. Kemasukannya ke Kolej St Hilda pada 1997 untuk belajar Matematik pada usia itu menjadikannya pelajar termuda memasuki universiti. Selama tiga tahun di Oxford, Sufiah dibiarkan dengan pengajiannya sehingga hari terakhir peperiksaannya pada 2000, Sufiah yang sepatutnya menaiki kereta api untuk pulang ke Coventary, tidak tiba di rumah. Kehilangannya penuh tanda tanya tetapi beberapa hari kemudian Sufiah menghantar emel, diterbitkan sebuah akhbar tempatan di London, yang dengan terang mengecam bapanya dan mengatakan dia tidak akan pulang kepada kehidupan yang diibaratkan sebagai hidup dalam neraka dan menderita didera secara fizikal serta mental selama 15 tahun. Sufiah juga muncul dalam satu temuramah khas dalam televisyen untuk menceritakan bagaimana hidupnya tertekan dan akhirnya dia ditemui tiga minggu kemudian di sebuah kafe. Bapa Sufiah, Farooq Yusof, yang berasal dari Pakistan pernah dipenjara tiga tahun pada 1992 kerana didapati bersalah dalam kes pemalsuan pembiayaan sewa beli, malah dia kini menjalani hukuman penjara 18 bulan selepas didapati bersalah mencabul dua pelajar perempuan berusia 15 tahun ketika mengajar Matematik di rumah mereka.
Terbaru, kita dikejutkan dengan pendedahan sebuah akhbar tabloid di London mengenai Sufiah, kini berusia 23 tahun, yang dilaporkan terpaksa menjadi pelacur di Salford, Manchester, untuk menyara hidupnya. Akhbar itu melaporkan Sufiah mengiklankan 'perkhidmatannya' melalui internet dengan tawaran 130 paun (RM830) untuk setiap sesi. Kita sedih dan terkejut dengan pendedahan itu serta kesal terhadap apa yang berlaku. Berdasarkan rentetan sejarah kehidupan keluarganya dan dakwaan Sufiah dalam e-melnya sebelum ini, amat jelas dia menghadapi tekanan hidup. Kita juga percaya terjerumusnya Sufiah dengan aktiviti tidak bermoral, dipercayai berpunca daripada kongkongan ibu bapanya sewaktu kecil. Secara logiknya, Sufiah boleh meneruskan kehidupan dengan baik melalui kepintaran akademiknya berbanding menjadi pekerja seks. Sufiah mungkin mengalami krisis identiti dan nilai yang boleh dirawat secara psikologi dan bimbingan agama. Orang seperti Sufiah ini kurang daripada 10 peratus di dunia dan pemikiran golongan ini terlalu ke hadapan selain gemar melakukan sesuatu yang di luar jangkaan. Oleh itu, apa yang penting sekarang ialah kita bersama-sama berusaha mencari jalan untuk menyelamatkan masa depan dan akidah Sufiah. Kita perlu ingat, menjadi pintar dalam akademik tidak bererti bijak menentukan masa depan masing-masing.
Kita juga bersetuju dengan usaha kerajaan melancarkan misi 'Selamatkan Sufiah' atas kesedaran untuk bertindak segera bagi menyelamatkan akidahnya. Apa yang diharapkan misi dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr Mashitah Ibrahim, seperti diumumkan semalam mampu menghasilkan sesuatu yang positif. Jika benar seperti yang dimaklumkan kepada wartawan akhbar tabloid berkenaan bahawa dia masih lagi melanjutkan pengajian Sarjana Ekonomi dan akan menghadapi peperiksaan tidak lama lagi, kita percaya masih belum terlambat untuk kita menyelamatkannya.
Berita Harian