Ahad, 16 September 2007

Peragawati perlu sihat


LONDON: Model 'catwalk' di minggu fesyen London diwajibkan menunjukkan sijil pengesahan doktor sebagai bukti mereka sihat secara fizikal dan psikologi untuk bekerja berikutan satu cadangan baru yang diperkenalkan kelmarin, lapor The Guardian semalam.

Model yang didapati mempunyai masalah pemakanan mungkin masih boleh diberikan sijil terbabit sekiranya mereka mendapat rawatan.

Siasatan kesihatan model terbabit diperlukan berikutan keputusan yang dibuat sebelum pelancaran minggu fesyen London bahawa sekurang-kurangnya 40 peratus model mengalami masalah pemakanan.

Ia menjejaskan gambaran dalam industri itu apabila 56 peratus model percaya mereka mendesak orang ramai untuk menjadi terlalu kurus, 75 peratus disifatkan mempunyai masalah anorexia dan bulimia dalam profesion mereka dan 67 peratus berasakan ia tren ke arah model terlalu kurus sejak lima tahun lalu.

Tidak seperti di Sepanyol dan Itali, model di London tidak perlu menjalani pengiraan indeks jisim badan mereka. - Agensi

USIM gedung ilmu teras keislaman, bersepadu


Pendekatan diguna bagi lahirkan graduan miliki kepakaran serta penuhi keperluan industri semasa


SEJAK bertukar nama daripada Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), ramai lepasan sekolah menjadikan USIM sebagai pilihan utama memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA)?

Penukaran nama itu sangat wajar dan tepat pada masanya. Pertama, semua program ditawarkan di USIM untuk peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah. USIM tidak menawarkan diploma ataupun sijil. Jika ada sekalipun penawaran diploma, ia diploma siswazah seperti Diploma Guaman Syarie dan Diploma Siswazah Penyalahgunaan Dadah atau Spada. Semua program ditawarkan mengikut garis panduan dan kelulusan pihak berkaitan seperti Kementerian Pengajian Tinggi. Namun, pelajar, ibu bapa dan orang ramai termasuk masyarakat luar negara tertanya-tanya mengenai status universiti ini. Apakah ia setaraf dengan IPTA lain. Oleh itu, dalam usaha mempromosikan KUIM ke luar negara, kita banyak menghadapi masalah bagi menjelaskan kepada mereka kerana perbandingan dengan universiti lain atau Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sering dikemukakan.

Oleh demikian, penukaran nama ini bukan saja usaha daripada pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah USIM, malah ia adalah rancangan diusahakan pihak Kementerian Pengajian Tinggi sendiri kerana ingin melihat USIM bersaing seperti universiti lain di negara kita. Alhamdulillah, dengan penukaran nama ini nampaknya USIM mula menjadi pilihan utama kepada pelajar bukan saja dari dalam, malah luar negara. Contohnya, pada masa ini pelajar bagi ijazah pertama sudah ada dari Asia Barat, negara Asean, Afrika dan China termasuk juga bagi program perpindahan kredit. Misalnya, pelajar dari Xian University sudah mengambil beberapa kursus dan sebaliknya pelajar USIM juga mengambil beberapa kursus perpindahan kredit di Xian University. Pada peringkat Ijazah Lanjutan, kini hampir 40 peratus adalah pelajar bukan warga negara.

Adakah penggunaan Kolej Universiti membataskan KUIM ketika itu untuk terus mengorak kecemerlangan?

Ya, ini seperti yang saya katakan, pelajar dan masyarakat dalam dan luar negara menghadapi sedikit keraguan mengenai universiti ini. Oleh itu, pelajar ini jika mempunyai peluang memasuki universiti, mereka mengutamakan universiti lain dulu dan selepas itu barulah ke KUIM. Maka, keputusan menukar nama ini satu langkah tepat yang dapat memberi keyakinan kepada masyarakat, pelajar serta warga USIM. USIM seperti yang kita maklum adalah universiti Islam pertama ditubuhkan dan dimiliki kerajaan sepenuhnya dan kewujudan tertakluk mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti seperti IPTA lain. Semua program ditawarkan berteraskan Islam dengan disepadukan Ilmu akli seperti sains dan teknologi dengan menggunakan pendekatan dan teknologi terkini. Apabila anggapan dan keyakinan ini dapat diatasi menerusi penukaran nama itu, maka aktiviti ilmiah dan bukan ilmiah dapat diperkenalkan dengan mudah. Begitu juga ia dapat diterima masyarakat dalam dan luar negara dengan mudah sekali.

Apakah gabungan pengajian sedemikian dapat melahirkan graduan lebih seimbang dan berdaya saing?

Pendekatan bersepadu antara ilmu nakli dan akli – teori dan amali serta menonjolkan ilmu dan disiplin tradisi Islam dalam pendekatan kontemporari menjadikannya diterima bukan saja masyarakat Islam, malah bukan Islam sebagai satu alternatif menyelesaikan isu masyarakat dan seterusnya memajukannya. Lebih-lebih lagi pendekatan ini dibuat dalam bentuk yang mengambil kira keperluan tempatan dan global menerusi teknologi terkini. Ia adalah disiplin ilmu, pendekatan yang saling melengkapi bagi membangunkan modal insan yang serba boleh, seimbang spiritual dan fizikalnya. Diharapkan graduan yang keluar bukan saja luas pengetahuannya, malah mempunyai keupayaan bersaing dalam arus perdana negara dan global dengan minda yang tinggi dan terbuka.

Adakah semua program dilaksanakan secara bersepadu?

Adalah menjadi dasar di USIM seperti yang saya katakan di atas bahawa pendekatan bersepadu merentasi semua disiplin ilmu ditawarkan USIM. Sebagai contoh, di Fakulti Syariah dan Undang-undang, kita menawarkan program syariah dan undang-undang secara bersepadu dalam bentuk ‘double major’ bukan hanya menerusi kaedah teori, malah ditekankan aspek profesionalisme. Kualiti yang tinggi dan kemahiran semasa juga diberi keutamaan. Dengan program bersepadu seperti ini matlamatnya untuk membentuk dan melahirkan graduan yang mempunyai kepakaran dan pengkhususan berkembar. Kedua-dua kepakaran ini perlulah diiktiraf oleh badan profesional. Selain itu, USIM juga mengutamakan penguasaan bahasa dan kurikulum berkembar dalam semua programnya. Pada masa ini, bahasa Arab dan bahasa Inggeris diwajibkan kepada semua mahasiswanya selain bahasa Malaysia. Suka saya menekankan bahawa USIM melaksanakan pendekatan ini merentasi semua program dan disiplin ilmu ditawarkan.

Adakah program ditawarkan USIM turut mengambil kira nilai tambah bagi sesuatu subjek dalam memenuhi keperluan industri semasa?

Semua program di USIM adalah berteraskan keislaman dan disepadukan dengan ilmu akli termasuk bidang kritikal sains dan teknologi. USIM sedar bahawa program nilai tambah adalah sesuatu yang sangat penting bagi mahasiswa USIM kerana dengan ada nilai tambah ini, membolehkan mahasiswa USIM dipandang seperti juga mahasiswa dari universiti lain terutama nilai tambah dalam penguasaan bahasa. Menerusi nilai tambah ini akan membentuk sahsiah mahasiswa dan seterusnya membentuk keyakinan dan kebolehan mereka untuk berinteraksi dengan semua lapisan pada peringkat negara dan luar negara. Nilai tambah lain yang dilaksanakan bersama dengan Kementerian Pengajian Tinggi adalah program kemahiran insaniah yang tidak hanya tertumpu kepada penguasaan kurikulum, malah peningkatan dan kemahiran dalam bidang ko-kurikulum. Kemahiran diri memahami keperluan pasaran, ketrampilan dan juga kebolehan untuk bersaing dalam pasaran memerlukan kepada nilai tambah dan juga kelebihan seseorang mahasiswa.

Apakah program nilai tambah ini dilakukan secara formal di USIM?

USIM melaksanakan program nilai tambah ini bukan saja secara formal dalam dan luar kelas, malah kita menghantar pelajar kita di dalam atau di luar negara bagi memperoleh sesuatu kemahiran dan juga latihan yang tidak ada dalam kelas di universiti. Sebagai contoh, pembelajaran bahasa Arab yang diperkenalkan di USIM adalah berbeza dengan pendekatan yang selalu diikuti pelajar. Pendekatan tradisional yang menekankan kepada hafalan, kefahaman tanpa menekankan kemahiran komunikasi dan juga penulisan menyebabkan bahasa ini tidak dapat dikaitkan dengan bahasa komunikasi atau sebagai bahasa ekonomi atau bahasa yang diperlukan dalam pelancongan. USIM dalam pendekatannya mendedahkan pelajar pada peringkat awal lagi. Pada tahun dua, mereka perlu pergi ke industri bahasa atau tempat yang memerlukan bahasa Arab seperti di lapangan terbang dengan kerjasama agensi berkenaan, badan pelancongan dan Kementerian Pelancongan. Ini membolehkan pelajar berinteraksi dengan pelancong dari Asia Barat melalui proses awal hinggalah ke akhirnya. Ini juga membolehkan pelajar berkomunikasi dalam bahasa Arab dengan orang Arab sendiri. Proses ini amat berkesan terutama dalam membina keyakinan diri untuk menggunakan bahasa Arab. Ini membolehkan mereka berinteraksi secara langsung menggunakan bahasa semasa yang digunakan pelancong. Di samping itu, bagi memperkukuhkan pelajar ini untuk terus menguasai bahasa, maka pelajar juga diprogramkan untuk pergi ke pusat bahasa di Asia Barat seperti di Jordan. Begitu juga dengan program bahasa Inggeris, pelajar dihantar ke luar negara untuk membolehkan mereka meningkatkan keyakinan dan penguasaan bahasa Inggeris yang lebih baik.

Mengapa USIM menghantar pelajar ke universiti luar negara dalam usaha memperkasakan penguasaan bahasa di kalangan pelajarnya?

Seperti yang saya nyatakan tadi, ini adalah satu pendekatan baru dilaksanakan di USIM dalam usaha mempercepatkan pelajarnya menguasai bahasa sama ada bahasa Arab atau bahasa Inggeris. Di samping itu, perkara yang sangat penting juga ialah mengusahakan pengantarabangsaan universiti dan juga pelajar kita pada peringkat global. Pada masa ini, USIM mengadakan kerjasama dengan beberapa universiti di Barat, Asia Barat dan China melalui pertukaran pelajar, tenaga pengajar dan program perpindahan kredit khusus dalam bahasa Arab dan Inggeris di samping beberapa kursus lain. Seterusnya untuk menilai program ditawarkan di USIM dan pelajarnya yang mengikuti program ini, apakah ia setanding dengan pelajar universiti di luar negara. Jika pelajar kita mempunyai kemampuan mengikuti program di universiti luar negara secara perpindahan kredit atau lain-lain dengan jayanya, ini memberikan satu petunjuk bahawa program yang kita tawarkan di USIM dan pelajar yang mengikuti program ini setanding dengan program serta pelajar di universiti lain. Selain itu, ia mendedahkan pelajar kita untuk memahami budaya dan interaksi lebih luas dengan pelajar luar negara. Ini memberi impak kepada pendekatan dan cara mereka belajar berbanding dengan universiti di luar negara.

Apakah USIM lebih mengutamakan bahasa Arab dan Inggeris?

Setiap disiplin ilmu harus diperoleh, difahami, dikaji menerusi sumber dan bahasa asalnya kerana keyakinan dan kepuasan penguasaan sesuatu disiplin ilmu akan lebih jitu dan diyakini apabila seseorang itu mempunyai kebolehan dan penguasaan bahasa yang baik bagi sesuatu bidang ilmu yang dipelajari dan dikuasainya. Contohnya, adalah sukar dinafikan keperluan bahasa Arab bagi sesiapa yang ingin mendalami ilmu Islam atau yang berkaitan dengannya. Sumber asal ilmu ini dihasilkan dalam bahasa Arab, malah al-Quran dan hadis adalah teras dan sumber ilmu dalam Islam yang kedua-duanya dalam bahasa Arab. Oleh itu, kita tidak dapat mengelak daripada menguasai ilmu menerusi bahasa asalnya, begitu juga dengan ilmu lain dan juga bahasa lain seperti bahasa Inggeris, Mandarin dan lain-lain. Penguasaan pelbagai bahasa seperti yang saya nyatakan adalah satu nilai tambah yang sangat penting bagi meningkatkan pembentukan sahsiah, pembinaan komunikasi yang berkesan dan seterusnya memberikan keyakinan diri serta keupayaan bersaing dalam pasaran dunia hari ini. Namun, suka saya nyatakan bahawa USIM tidak pernah mengabaikan tanggungjawab untuk mendaulatkan bahasa ibunda serta menjadikannya bahasa ilmu menerusi pelbagai kegiatan ilmiah dan aktiviti luar kelas.

Oleh Norliza Abdullah

Berita Harian 15 September 2007

Puasa pupuk kekuatan mental ummah


RAMADAN adalah bulan utama, penghulu segala bulan, iaitu dalam bulan ini Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada semua hamba yang benar-benar beriman. Bukan umat sekarang saja diwajibkan berpuasa, sudah difardukan puasa ke atas umat terdahulu.

Ramadan dikatakan ‘syahrul ibadah’ (bulan ibadat), iaitu Allah membuka peluang seluas-luasnya kepada hamba-Nya yang mukmin melaksanakan ibadat sebanyak-banyaknya kerana ganjaran pahala disediakan pada bulan ini terlalu besar yang tiada pada bulan lain.

Antara isi khutbah disampaikan Nabi SAW di hadapan sahabat pada hari terakhir Sya‘ban ialah: “Barang siapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan (amalan sunat) dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardu pada bulan lain. Barang siapa menunaikan suatu fardu pada Ramadan, samalah dia dengan orang yang mengerjakan tujuh puluh fardu pada bulan lain.”

Bagi mukmin yang gemar melakukan kebajikan, sudah tentu kemunculan Ramadan sangat dinantikan kerana pada bulan ini umat Islam diberi keutamaan dalam melakukan ibadat, iaitu akan dikurniakan nilai tambah dari segi ganjaran pahalanya.

Selain itu, pada bulan ini, Allah akan membukakan pintu syurga dan menutup pintu neraka.

Mungkin ada kalangan umat Islam yang bertanya apakah benar syaitan dirantai sepanjang Ramadan, sedangkan perlakuan maksiat masih juga berlaku pada bulan suci itu. Jawabnya kerana diri mereka yang melakukan maksiat itu, (Pada zahirnya mereka berpuasa) tetapi sudah dikuasai nafsu dan nafsu itu pula lebih kuat tarikannya daripada syaitan.

Nabi SAW bersabda bermaksud: “Ramai orang berpuasa, tidak mendapat apa-apa daripada puasanya selain lapar, dan ramai orang yang berjaga malam (beribadah pada malam hari), tidak mendapat apa-apa daripada jaga malamnya selain kurang tidur.” ( Hadis riwayat an-Nasa’iy dan Ibnu Majah)

Tujuan penting puasa ialah membentuk sikap berdisiplin di kalangan mukmin terutama disiplin terhadap waktu. Namun sayangnya, sikap sebahagian umat Islam ketika Ramadan banyak menyimpang seperti banyak tidur, datang lewat ke tempat kerja dan kurang bekerja atas alasan keletihan berpuasa.

Puasa juga mendorong menghulur bantuan kepada golongan yang kurang mampu sebagai cara menghindarkan sifat sombong, bakhil dan ego daripada hati orang yang Allah anugerah kekayaan.

Pengaruh puasa yang dapat membina dan membangun mentaliti manusia ialah puasa yang dilaksanakan dengan penuh keimanan, penghayatan dan keikhlasan kepada Allah. Puasa seperti inilah yang akan mendapat ganjaran pahala besar daripada Allah iaitu penghapusan dosa.

Nabi SAW bersabda bermaksud: “Siapa yang berpuasa pada Ramadan kerana iman dan penuh harapan, nescaya diampunkan Allah dosanya yang sudah lalu.”( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hikmah terpenting berpuasa selain menambah keimanan, seseorang akan dapat mengendalikan nafsunya sendiri tanpa ada paksaan sesiapa. Tanpa keimanan, seseorang itu tidak akan sanggup melakukan ibadat puasa ini, terpaksa menahan lapar, dahaga dan keinginan lain.

Berpuasa juga sebenarnya dapat memberi pengaruh besar kepada kesihatan. Selama 11 bulan kita makan dan minum tanpa henti, maka dalam tempoh itu juga jentera memproses makanan dalam tubuh kita bekerja tanpa rehat.

Oleh itu, ahli kesihatan menjelaskan berpuasa dapat memelihara kesihatan tubuh. Alat pencerna makanan dalam tubuh manusia umpama mesin yang beroperasi terus-menerus tanpa rehat akan rosak.

Dalam menjalani Ramadan yang penuh keberkatan ini, maka orang beriman hendaklah menyambutnya dengan gembira dan membekalkan diri dengan keimanan kepada Allah.

Oleh Wan Aminurrashid Wan Abd Hamid

Penulis ialah Pegawai Hal Ehwal Islam di Pusat Islam Universiti, UPM Serdang

Berita Harian 15 September 2007

Tiga elemen bukti perpaduan kaum


Kerajaan beri ruang masyarakat berbilang kaum berbincang secara bijak


ESOK, genap 44 tahun penubuhan Malaysia selepas kemasukan Sarawak dan Sabah. Pada usia itu ia sudah dianggap matang dalam segenap segi sehingga nama Malaysia terkenal di persada antarabangsa. Namun, selepas tempoh sejak 16 September 1963, sejauh mana tahap perpaduan kaum di negara ini? Apakah benar masih wujud jurang perbezaan ketara antara kaum di Sabah dan Sarawak dengan masyarakat Semenanjung.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Maximus Ongkili, berkata berdasarkan tinjauan, kajian dan pengamatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya tiga tahun lalu, perpaduan kaum di negara ini, termasuk di Sarawak dan Sabah berada pada tahap terbaik.

Katanya, isu perpaduan kaum di negara ini juga sudah jauh berubah berbanding 10 tahun lalu. Bagi tiga kaum utama di negara ini, iaitu Melayu, Cina dan India, tahap toleransi, penyesuaian diri, sikap hormat menghormati sudah semakin baik. Ketiga-tiga elemen ini menunjukkan tahap sebenar hubungan perpaduan antara kaum.

Ditanya mengenai perhubungan kaum dan etnik di Sarawak dan Sabah, beliau berkata, biasanya hubungan itu lebih terkawal dengan membabitkan aktiviti tertentu dilakukan bersama dan sekiranya ada masalah mereka akan menjalankan perundingan sebagai jalan penyelesaian.

Kadar perkahwinan campur juga dilihat lebih tinggi di kedua-dua negeri itu berbanding di Semenanjung, iaitu kira-kira 20 peratus.

Keseluruhannya, perpaduan kaum pada peringkat akar umbi dilihat lebih kuat daripada sebelum ini, manakala kerajaan bersikap terbuka dengan menetapkan garis panduan serta membenarkan perbincangan mengenai isu tertentu selagi tidak menjejaskan sensitiviti antara kaum.

Media pula memberi ruang yang cukup kepada masyarakat untuk membincangkan mengenai perpaduan kaum atau menyentuh mengenai hak asasi atau keistimewaan. Parlimen juga memberi ruang untuk berdebat isu berkaitannya.

"Jika kita mahu katakan bahawa isu perpaduan kaum di negara ini sekarang sudah rapuh atau goyah berbanding dulu seperti didakwa sesetengah pihak, ia tidak benar. Bagi saya, pada peringkat akar umbi, ada landasan tersendiri dan ia lebih kukuh berbanding dulu berdasarkan sikap toleransi, penyesuaian diri dan hormat menghormati antara kaum.

"Saya percaya tidak ada sesiapa lagi yang mahu mengalami semula peristiwa rusuhan kaum yang berlaku pada 1969," kata Ongkili.

Kejadian 13 Mei 1969 juga menjadi pengalaman yang mematangkan pelbagai pihak bahawa pentingnya perpaduan nasional dalam memastikan suasana harmoni dan aman diwujudkan.

Perpaduan kaum kini, dapat dilihat di mana-mana juga di negara ini. Bulan lalu ketika berada di Kelantan, menteri itu dapat melihat sendiri dalam sebuah kedai milik orang Cina (yang halal) semua bangsa ada dan berkumpul di situ.

"Berdasarkan pengamatan saya, memperlihatkan bahawa di Kelantan tidak wujud masalah perkauman sebaliknya, ketegangan itu lebih berkaitan masalah politik.

"Saya menganalisis dari perspektif berkenaan. Sebenarnya kerajaan sudah memberi ruang yang luas kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini seperti mengadakan forum atau perjumpaan perkumpulan membincangkan isu tertentu dengan bijak," katanya.

Bagaimanapun, ruang luas yang kerajaan berikan itu tidak seharusnya disalah guna untuk membincangkan isu secara terbuka mengenai perkara sensitif bertujuan mengapi-apikan kebencian antara kaum.

"Kita juga tidak mahu forum seumpama itu digunakan pihak tertentu untuk cari nama dan meraih publisiti murahan. Ia sebenarnya tidak membantu menyelesaikan masalah sebaliknya akan mengeruhkan lagi keadaan," katanya.

Begitu juga apabila lawatannya ke kawasan bandar kecil seperti Sitiawan, Cameron Highlands dan Mentakab yang jelas dapat dilihat rumah ibadat didirikan mengikut kepercayaan agama iaitu lokasi masjid dan kuil didirikan selang beberapa kilometer. Mereka juga saling menghormati hak keistimewaan masing-masing.

Ongkili berkata, walaupun perpaduan masyarakat sudah berada pada tahap memberangsangkan, masih wujud cabaran lain yang boleh menggugat keharmonian negara.

Pada dasarnya, isu perkauman dikaitkan dengan saingan dalam ekonomi, pendidikan dan hubungan antara agama. Isu perkauman itu sebenarnya menjadi bertambah ketara apabila ada pihak membangkitkannya sama ada dalam perkara ekonomi atau pendidikan.

Dalam isu ekonomi, contohnya, perbincangan hangat kadang-kala meleret kepada soal perkauman apabila ada kelompok tertentu membangkitkan perkara berkaitan hak keistimewaan dan sebagainya. Lazimnya masalah ini berbangkit adalah lebih tinggi risikonya di bandar besar, khususnya empat negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor dan Pulau Pinang.

Ongkili berkata, perpaduan kaum boleh dipupuk menerusi hubungan interaksi yang baik antara kaum. Penubuhan Rukun Tetangga (RT) dilihat sebagai kaedah terbaik untuk memperkukuhkan hubungan itu bermula pada peringkat akar umbi.

Malah, setiap RT di kawasan penempatan dianggotai pelbagai kaum bagi memastikan matlamat kerajaan meningkatkan perpaduan kaum tercapai.

Oleh itu, penduduk harus melihat penubuhan RT sebagai komponen penting bukan saja memupuk perpaduan antara kaum, malah keselamatan kawasan penempatan lebih terjamin dan terpelihara.

"Saya menerima laporan setiap minggu berkaitan perkembangan di 3,610 sektor RT. Telefon bimbit saya sentiasa aktif dan jika ada sebarang masalah seperti pergaduhan saya mesti kena tahu.

"Jika ada komuniti bergaduh, saya menjadi orang pertama yang tahu. Semua pemimpin RT sudah diberikan latihan bagi membolehkan mereka membuat pemantauan dan menjadi orang tengah untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Bagaimanapun, sokongan padu sewajarnya turut diganding bersama oleh pelbagai pihak khususnya kalangan parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan memberikan komitmen lebih aktif bagi membantu kerajaan menangani isu membabitkan kawasan setempat supaya tidak merebak sehingga membawa kepada perkara tidak diingini.

Bagi memperkukuhkan perpaduan kaum, kerajaan juga berusaha menambah kemasukan kanak-kanak Cina, India dan Bumiputera ke kelas Tabika Perpaduan yang sebelum ini hanya dipenuhi kanak-kanak Melayu.

Mengikut perangkaan tahun lalu, daripada 46,000 kanak-kanak, kira-kira 6,000 orang adalah Cina dan 5,000 India, manakala selebihnya Melayu dan Bumiputera.

Oleh Jami'ah Shukri

Berita Harian 15 September 2007

Sektor awam perlu baiki pengurusan belanja


SATU daripada ciri utama bajet tahunan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Menteri Kewangan ialah mengurangkan defisit fiskal secara progresif. Dalam ucapan Bajet 2008 pada 7 September lalu, beliau mengumumkan bahawa defisit fiskal kerajaan Persekutuan dapat dikurangkan dengan ketara, iaitu daripada 5.5 peratus pada 2000 kepada 3.3 peratus pada 2006 dan dijangka terus dikurangkan kepada 3.2 peratus tahun ini dan 3.1 peratus tahun depan.

Ia dicapai menerusi peningkatan kecekapan dan keberkesanan dalam pungutan hasil serta memastikan pengurusan perbelanjaan secara berhemat.

Pengurusan perbelanjaan (spend management) adalah satu disiplin baru dalam dunia pengurusan kewangan. Ia secara spesifik dapat mengurangkan kos serta meningkatkan ketelusan dan kecekapan. Dua komponen utamanya ialah e-perolehan (e-procurement) dan e-bidaan (e-bidding).

E-perolehan merubah sistem perolehan lama yang dibuat secara tidak teratur dan manual kepada sistem baru yang lebih kemas, tersusun dan automatik pada setiap tahap dalam proses perolehan itu, iaitu daripada pencarian barang dan perkhidmatan kepada membuat tempahan, kelulusan, jejakan dan invois.

Saluran komunikasi tradisional seperti telefon dan faks diganti oleh saluran lebih cekap yang melibatkan katalog atas talian, ejen perolehan pintar, kelulusan secara aliran kerja dan penyumberan atas talian.

E-perolehan mampu meningkatkan produktiviti kerana proses transaksi menjimatkan kos dan masa serta membolehkan pegawai perolehan melakukan kerja yang lebih tambah nilai, manakala sistemnya yang tersusun dan automatik mengurangkan rasuah dan penyelewengan pembelian.

E-bidaan pula ialah teknologi berasaskan web yang mewujudkan lelongan atas talian bagi organisasi yang ingin membuat pembelian. Pembidaan dilakukan secara internet dan pada masa nyata (real time) yang berlangsung pada satu masa dan tempoh tertentu. Ia adil bagi semua pembida dan adalah telus.

Ada empat jenis e-bidaan, iaitu bidaan terbuka, bidaan tertutup, bidaan sensitif-pembida dan bidaan sensitif-harga.

Kekuatan e-bidaan ialah penjimatan yang nyata dan serta-merta, membabitkan sumber organisasi yang sama ada amat kecil atau tiada langsung dan mengurangkan manipulasi pembekal. Ini menghasilkan penjimatan yang tinggi bagi pembeli.

Organisasi yang menggunakan kedua-dua teknologi e-perolehan dan e-bidaan telah berjaya menjimatkan kos dari serendah 3 peratus hingga setinggi 90 peratus. Disebabkan itulah perkara ini dinyatakan dengan jelas Perdana Menteri dalam ucapan Bajet 2006. Sistem perolehan kerajaan akan diperbaiki dengan memperkenalkan kaedah baru dalam mengurangkan kos, menjadi lebih telus dan memastikan nilai berpatutan (value for money).

Satu sistem e-bidding atau reverse auction perlu diperkenalkan di beberapa agensi supaya kaedah baru ini boleh dilaksanakan dalam sektor awam dan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sistem perolehan baru itu satu daripada sepuluh inisiatif dalam Program Transformasi GLC yang dilancarkan Datuk Seri Abdullah pada Julai 2005. Pada April 2006, beliau melancarkan Buku Merah mengenai amalan terbaik dalam sistem perolehan berkenaan sebagai panduan bagi GLC.

Dengan sistem baru ini, GLC dianggarkan dapat menjimatkan 20 peratus daripada perbelanjaan tahunannya, iaitu sebanyak RM9 bilion. Serentak dengan itu, GLC dapat meningkatkan keuntungan sebelum cukainya sebanyak 70 peratus.

Menurut Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Azman Mokhtar, kini beberapa kejayaan sudah dicapai GLC yang menggunakan sistem perolehan yang baru itu.

Walaupun angkanya belum ditentukan, tetapi kenyataan Datuk Seri Abdullah dalam Ucapan Bajet 2008 jelas menunjukkan bahawa transformasi GLC, di mana sistem perolehan berkenaan adalah sebahagian daripadanya adalah memberangsangkan.

Menurutnya, antara faktor menyumbang kepada prestasi pasaran saham (kini kita antara yang terbesar dan aktif di rantau ini, Indeks Komposit Kuala Lumpur mencecah 1,299 mata pada 6 September lalu dan pasaran modal mencapai RM1 trilion) ialah kejayaan Program Transformasi GLC dengan modal pasaran 45 buah GLC meningkat sebanyak RM129 bilion (61 peratus).

Tetapi malangnya, minat terhadap sistem pengurusan perbelanjaan berkenaan di kalangan sektor awam tidak begitu hangat. Contohnya, enam bulan selepas ia diumumkan Abdullah dalam ucapan Bajet 2006 itu, seorang daripada Pegawai Kewangan Negeri di barat Semenanjung masih tidak tahu menahu mengenainya.

Manakala, Laporan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, mengenai Penyata Akaun Awam dan pengurusan kewangan kementerian dan jabatan kerajaan persekutuan bagi 2006 membolehkan tafsiran dibuat bahawa ia belum dilaksanakan di kebanyakan agensi kerajaan.

Laporan kali ini menunjukkan banyak kelemahan dalam pengurusan perbelanjaan yang mengakibatkan perbelanjaan tidak munasabah dan membazirkan wang rakyat. Contoh paling klasik ialah harga kuih karipap 30 sen dibeli dengan harga RM3.

Masalahnya ialah kelemahan itu bukanlah cerita baru. Kebanyakannya sudah ditegur dalam laporan tahun lalu. Contohnya ialah perbelanjaan melebihi peruntukan dan perbelanjaan tanpa peruntukan serta lemahnya kawalan pengurusan, kawalan perbelanjaan dan pengurusan aset.

Bagi mengatasi kelemahan berkenaan, Ketua Audit Negara mencadangkan supaya pihak pengurusan memberi penyeliaan lebih rapi terhadap kakitangan terbabit dengan urusan kewangan dan memastikan latihan sewajarnya diberikan.

Datuk Seri Abdullah mengarahkan semua menteri yang kementeriannya menghadapi masalah berkenaan supaya memberikan penjelasan terperinci kepada mesyuarat Kabinet. Manakala ada pelbagai suara lain yang mahu supaya semua pihak yang melakukan kelemahan berkenaan dikenakan hukuman sewajarnya.

Semua itu perlu dilakukan, tetapi, ia tidak mencukupi. Sebenarnya, masanya sudah sampai, malah sudah hampir terlewat untuk sektor awam segera menggunakan sistem pengurusan perbelanjaan yang baru dan lebih baik yang mengandungi komponen e-perolehan dan e-bidaan. Semoga, bukan saja fiskal dapat diseimbangkan, wang rakyat dapat dijimatkan dan manfaat bajet dapat ditingkatkan.

Oleh Saifuddin Abdullah

Datuk Saifuddin Abdullah adalah Pengerusi Akademi Belia yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002)

Berita Harian 15 September 2007

Dasar guna tenaga lebih komprehensif patut dirangka


SATU mekanisme khas akan diperkenalkan kerajaan bagi membantu golongan miskin, khususnya nelayan sebelum subsidi diesel dimansuhkan. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin berkata, mekanisme itu masih pada peringkat perbincangan dan sedang diperhalusi bagi memastikan tidak timbul sebarang masalah kepada pengguna bahan api berkenaan jika subsidinya dimansuhkan. Kerajaan akan memastikan sebarang keputusan nanti tidak akan menyebabkan nelayan menanggung beban, manakala pihak yang menganggap subsidi itu membuka ruang untuk penyeludupan dan merugikan negara, juga berpuas hati. Kita berharap kajian mendalam itu turut melihat subsidi yang diberikan kepada industri lain kerana jumlah diesel digunakan nelayan tidak sebesar diesel digunakan industri berat. Baru-baru ini, Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Prof Datuk Dr Ismail Salleh menyarankan kerajaan memansuhkan subsidi diesel bagi menangani penyelewengan dan penyeludupan bahan api itu yang semakin berleluasa hingga menyebabkan negara mengalami kerugian besar. Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyatakan ia akan meneruskan pemberian subsidi diesel kepada nelayan dan industri berikutan sektor terbabit masih memerlukan bantuan kerajaan bagi meneruskan operasi.

Kita berpendapat pihak berkuasa perlu merangka dasar penggunaan tenaga yang lebih kondusif supaya pemberian subsidi kepada industri yang mencatat keuntungan berjuta-juta ringgit setiap tahun itu dapat dihentikan. Dasar yang komprehensif itu harus merangkumi segala aspek berkaitan penggunaan tenaga, termasuk polisi ke arah mendidik rakyat menjimatkan penggunaan tenaga dalam kegiatan seharian. Industri tempatan seharusnya mengambil langkah menjimatkan penggunaan tenaga, sekali gus mengurangkan kos mereka supaya lebih kompetitif di pasaran. Subsidi pula harus dihadkan kepada golongan benar-benar memerlukan seperti nelayan dan petani. Kita percaya jika subsidi kepada industri ini dihentikan, barulah mereka mencari jalan untuk menjimatkan kos supaya lebih berdaya saing. Memang benar sesetengah industri memerlukan bantuan kerajaan pada peringkat permulaan, tetapi kebanyakan industri yang menikmati subsidi sekarang sudah wujud berpuluh-puluh tahun. Jika dulu, mereka mungkin menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, tetapi kini jika mereka tidak menggunakan mesin sepenuhnya, mereka mengaji rakyat asing kerana upahnya lebih rendah.

Matlamat kerajaan mencapai pembangunan sosioekonomi lebih seimbang sukar dicapai selagi subsidi ini diteruskan. Tahun lalu misalnya, kerajaan meraih penjimatan subsidi RM900 juta selepas menaikkan harga minyak berbanding jangkaan penjimatan RM4.4 bilion. Untuk berapa lama lagi kerajaan terpaksa menanggung beban bagi mengekalkan harga petroleum? Subsidi tidak menggalakkan kecekapan dan pemuliharaan, sekali gus memerlukan penyelesaian. Malangnya setiap kali kerajaan mahu menurunkan subsidi, kalangan industrilah yang membantah dengan pelbagai alasan. Anehnya keadaan sama tidak berlaku di negara lain. Satu perkara yang pasti ialah bekalan sumber minyak dan gas dalam negara semakin habis, malah mungkin lebih cepat daripada tempoh jangkaan jika kadar penggunaan dalam negara terus meningkat. Hakikat Malaysia menjadi pengimport bersih minyak menjelang 2010 tidak dapat dielakkan jika permintaan domestik bagi produk petroleum terus meningkat pada kadar empat peratus setahun. Oleh itu, sementara kita menunggu mekanisme khas dirangka bagi membantu golongan miskin, semua pihak, terutama industri tempatan perlu berusaha mengambil langkah proaktif menjimatkan penggunaan tenaga.

Berita Harian 15 September 2007

Hamdan hapus Paraku di Sarawak


Bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak saksi penyerahan diri ketua komunis, ahli


SEBELUM mencapai kemerdekaan menerusi Malaysia pada 16 September 1963, Sarawak berdepan keadaan getir iaitu ancaman konfrontasi dari luar negara, manakala dalam negeri pihak komunis berusaha mempengaruhi orang ramai sehingga menjejaskan keadaan keselamatan.

Tetapi ada satu perkara yang menarik berlaku apabila Ketua Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) iaitu gerakan komunis paling berpengaruh di Sarawak ketika itu, Bong Kee Chok tiba-tiba keluar daripada persembunyian di hutan dan berkeliaran di pekan Simanggang (kini Sri Aman). Paraku adalah sayap angkatan bersenjata Biro Kedua Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU).

Perkara ini diceritakan oleh bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak, Tan Sri Hamdan Sirat, 87, yang dapat melihat dan merasai sendiri zaman kesengsaraan ketika konfrontasi Malaysia-Indonesia; ancaman bersenjata komunis; pergolakan politik yang berakhir dengan pembangunan berterusan sehingga kini dinikmati semua.

Sebagai orang nombor satu dalam pasukan polis di Sarawak (1969-1978), Hamdan sudah tentu menjadi sasaran komunis tetapi akhirnya beliau turut memainkan peranan melemah dan seterusnya menghapuskan saki baki komunis di Bumi Kenyalang.

Hamdan berkata, komunis di Bahagian Simanggang yang dipimpin Bong Kee Chok semakin lemah, sehinggakan ketua Paraku itu sendiri menghantar surat menerima tawaran menyerah diri kepada Ketua Menteri ketika itu, Datuk Abdul Rahman Yaakub (kini Tun dan bekas Yang Dipertua Negeri).

“Anehnya, belum pun kandungan surat itu dibincangkan dalam mesyuarat yang turut saya hadiri, pada 20 Oktober 1973, Bong bersama dua pengawal peribadinya keluar ke pekan Simanggang bertemu polis untuk meminta berjumpa sendiri dengan Tun Rahman. Ketika itu, Tun Abdul Rahman berada di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui Berita Harian di kediamannya di Demak, dekat Kuching.

Polis yang terkejut dengan kemunculan mendadak Bong kemudian menempatkannya di rumah rehat Simanggang dan menghubungi Abdul Rahman di ibu negara yang kemudian bergegas pulang dan terus ke Simanggang keesokan harinya untuk berunding.

“Tun Abdul Rahman berunding sepanjang malam sehingga awal pagi. Akhirnya (pihak komunis) bersetuju untuk menyerah diri beramai-ramai dengan meletak senjata dan mengikuti program pemulihan.

“Esok harinya, pada 21 Oktober (1973), perjanjian antara kerajaan negeri diwakili Tun Abdul Rahman dan Bong yang dikenali Pengisytiharan Sri Aman itu cukup bersejarah sehinggakan Bahagian Simanggang ditukar nama kepada Sri Aman,” katanya yang turut menyaksikan detik bersejarah itu.

Hamdan yang bersara pada 1978 berkata, Bong balik semula ke dalam hutan selepas perjanjian itu dan seminggu kemudian keluar bersama kumpulan kecil komunis, diikuti kumpulan lebih besar menyerah diri dengan membawa senjata.

“Dalam tempoh sebulan, lebih 250 pengikut Bong keluar menyerah diri di Sri Aman,” katanya dan perjanjian Bong dengan kerajaan negeri memberi tekanan kepada kumpulan komunis yang bergerak di Sibu, kawasan pertengahan Sarawak.

Beliau yang berpangkat Asisten Superintendan Polis selepas mengikuti kursus di London pada 1957, berkata Bong dipaksa ke Sibu untuk berbincang dan memujuk pemimpin komunis yang bergerak di situ menyerah diri.

“Pada mulanya, mereka berkeras dan perbincangan di kalangan pemimpin komunis Sibu dengan Bong menjadi panas sehingga pergaduhan berlaku. Bong memberi amaran supaya mereka keluar menyerah diri dalam tempoh 15 hari sekiranya tidak mahu diserang pasukan keselamatan.

“Akhirnya komunis di Sibu menyerah diri, keadaan keselamatan kembali pulih dan terkawal pada 1974,” katanya dan menyatakan bahawa ancaman komunis terus dilumpuhkan selepas perjanjian damai pada 1990.

Hamdan berkata, psikologi perang atau perang saraf termasuk risalah tawaran serah diri digunakan untuk melemahkan moral komunis sebelum itu dan ia mengambil masa agak lama untuk dilakukan. Ia menyebabkan ancaman komunis sentiasa wujud walaupun selepas Sarawak mencapai kemerdekaan.

Sebenarnya, kata Hamdan, selepas kebanyakan negara di Asia, Afrika termasuk Indonesia, Filipina dan Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, penduduk Sarawak turut mahukan kemerdekaan.

“Sebelum Gagasan Malaysia diutarakan Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, pemimpin tempatan sudah menubuhkan parti politik, malah sebelum 1960, sudah ada perhubungan antara pemimpin Sarawak bersama Sabah dan Brunei bagi memperoleh kemerdekaan dari British,” katanya.

Hamdan berkata, apabila Gagasan Malaysia diperkenalkan, orang Melayu Sarawak, Iban dan Melayu memberi sokongan penuh kerana ia mempercepatkan proses kemerdekaan.

“Sokongan penduduk Cina, tidak sekata, hanya satu parti politik iaitu Pertubuhan Cina Sarawak (SCA) menyokong penubuhan Malaysia, manakala Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) pada peringkat awal membantah,” katanya yang turut membawa wakil Tunku Abdul Rahman, Datuk Senu Abdul Rahman bertemu dengan pemimpin Melayu dan Iban bagi membincangkan Gagasan Malaysia.

Beliau berkata, ancaman pertama muncul selepas Suruhanjaya Cobbold mengadakan pungutan suara yang membolehkan penduduk Sabah dan Sarawak menyertai pembentukan Malaysia ialah bantahan daripada Indonesia, sehingga mencetuskan ancaman bersenjata.

“Pemberontakan Parti Rakyat Brunei (PRB) yang diketuai AM Azahari pada Disember 1962 turut membabitkan penduduk Sarawak di Limbang yang menyokong gerakan PRB itu, tetapi berjaya dipatahkan tentera British seminggu kemudian menyebabkan Azahari melarikan diri ke Indonesia.

“Ia menyemarakkan pengaruh Indonesia bagi menentang penubuhan Malaysia sehingga akhirnya pada 1965, berlaku konfrontasi antara Malaysia-Indonesia, yang turut menjejaskan rakyat negeri ini terutama di kawasan sempadan,” katanya yang membantu membentuk peninjau sempadan bagi mengumpul maklumat ketenteraan ketika kemuncak ancaman militer Indonesia.

Pada masa sama, menurut Hamdan, pengaruh komunis yang mendapat inspirasi dari kejayaan komunis di China, Russia dan Cuba, semakin mendapat tempat di kalangan penduduk bangsa Cina di kawasan luar bandar di Sarawak yang bersekolah Cina dan akhirnya membentuk Clandestine Communist Organisation (CCO).

Sebelum 1963, CCO hanya menjalankan kegiatan subversif, namun selepas pemberontakan PRB dan Azahari membentuk pasukan tentera Kalimantan Utara (NKA), pertubuhan komunis itu mengisytiharkan diri sebagai Parti Komunis Kalimantan Utara dengan tenteranya, Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (Paraku).

“Pada masa itu difikirkan, ada hubungan komunis (CCO dan PKKU) dengan Azahari. Namun dokumen yang diperoleh kemudian dari arkib komunis, tidak menyokong kenyataan itu,” katanya yang pernah menjawat jawatan Pemangku Yang Di-Pertua Negeri Sarawak selama dua kali pada 1 April 1982 dan 3 Mei 1983.

Oleh Muhd Yusuf Abu Bakar

Berita Harian 17 September 2007

Kewujudan Malaysia dapat tentangan hebat Indonesia, Filipina



JIKA 31 Ogos diiktiraf Hari Kebangsaan, 16 September pula tarikh penubuhan Malaysia iaitu diwujudkan pada Isnin, 16 September 1963. Bermakna esok (Sabtu) genap 44 tahun usia Malaysia, negara yang dulunya dikenali Malaya sejak Inggeris menjajah di Tanah Melayu.

Malaysia merangkumi Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya (kini Semenanjung), Borneo Utara (Sabah) Sarawak dan Singapura dibentuk melalui pungutan suara Suruhanjaya Cobbold yang dihantar Inggeris pada 1962.

Singapura menyertai Malaysia dalam keadaan terdesak berikutan pengaruh komunis menular ke akar umbi Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew. Bagaimanapun pada 1965, Singapura bertindak keluar dari Malaysia.

Kewujudan Malaysia menerima tentangan hebat Indonesia dan Filipina. Indonesia melancarkan konfrontasi dengan kempen ‘Ganyang Malaysia’. Malaysia pernah memutuskan hubungan diplomatik dengan kedua-dua negara itu. Dicatatkan di sini pahit getir sebelum kewujudan Malaysia.

27 Mei 1961 - Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj buat kali pertama mencadangkan dalam satu ucapan kepada rakyat mengenai hasrat menubuhkan Malaysia. Indonesia, Filipina dan Parti Rakyat Brunei menentang cadangan itu. Kemasukan Brunei dibatalkan Persekutuan Tanah Melayu kerana bimbang menimbulkan pelbagai masalah politik lagi.

20 Januari 1963 - Konfrontasi di antara Malaysia dan Indonesia diisytiharkan Menteri Luar Indonesia, Dr Subandrio. Presiden Sukarno yang kecewa kerana gagal menubuhkan Indonesia Raya melalui gabungan Indonesia dengan Tanah Melayu melancarkan kempen Ganyang Malaysia.

26 Ogos 1963 - Rombongan Bangsa-Bangsa Bersatu memulakan tugas di Sabah tanpa menghiraukan pemerhati Indonesia dan Filipina tiba atau tidak.

30 0gos 1963 - Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail menandatangani perisytiharan menentukan tarikh penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.

31 Ogos 1963 - Kerajaan Australia bersetuju pasukan bersenjatanya yang terikat mempertahankan Malaya boleh digunakan melindungi Malaysia.


4 September 1963 - Tunku Abdul Rahman berkata Malaysia pasti diwujudkan pada 16 September tanpa dilengah walaupun Indonesia menentang keras.

4 September 1963 - Indonesia mengirim satu bantahan keras kepada Malaysia terhadap keputusan hendak mengisytiharkan Malaysia pada 16 September.

8 September 1963 - Tunku Abdul Rahman ramalkan malapetaka mungkin berlaku dalam persahabatan antara Malaysia dengan Singapura jika Lee Kuan Yew mengamalkan perbuatannya itu.

11 September 1963 - Presiden Macapagal (Filipina) enggan mengulas berita yang menyatakan Filipina dan Indonesia merancang satu tindakan bersama menentang pembentukan Malaysia pada 16 September.

14 September 1963 - Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, U Thant menyatakan ia akan menyelesaikan tugasnya di Borneo menjelang 14 September.

16 September 1963 - Presiden Indonesia, Sukarno berunding dengan Menteri Kanan Kabinetnya dan Ketua-Ketua Angkatan Bersenjata Indonesia untuk menentukan dasar dan masa depan mereka terhadap Malaysia.

17 September 1963 - Maharaja Hirohito (Jepun) menghantar perutusan tahniah kepada negara baru Malaysia.

18 September 1963 - Presiden Amerika Syarikat, John F Kennedy menghantar wakil khasnya, Alexis Johnson untuk meminta penjelasan daripada kerajaan Indonesia dan Filipina mengenai sikap mereka tidak mengaku Malaysia.

19 September 1963 - Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman mengumumkan bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan putus hubungan diplomatik dengan Indonesia dan Filipina. Sebuah majlis Pertahanan dibentuk.

Ogos 1966 - Konfrontasi dilancarkan Indonesia sejak Januari 1963 sebagai bantahan penubuhan Malaysia berakhir sesudah berlangsung hampir tiga tahun.

Berita Harian 15 September 2007

Kenangan saksi The Reds, Pompey adu tenaga


SEJAK bertugas sebagai wartawan, penulis beberapa kali berpeluang membuat liputan tokoh terkemuka dunia seperti bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore; bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela mahupun Ratu Elizabeth ketika berkunjung ke Kuala Lumpur pada lewat 1990-an.

Ketika tugasan di Afghanistan pada 2002, penulis hampir bertemu Presidennya, Hamid Karzai tetapi disebabkan pergolakan yang melanda bumi itu, temu janji yang diatur terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir.

Namun, selepas pelbagai kenangan dilalui sepanjang memegang pen dan buku catatan wartawan Berita Harian, penulis tidak pernah bermimpi bahawa pada suatu hari dapat bertemu pemain bola sepak skuad Liga Perdana Inggeris (EPL) pada majlis eksklusif di sebuah hotel lima bintang di Hong Kong, dengan barisan tetamu tentunya golongan elit di pulau pelancongan terkenal itu.

Ketika meneliti program lawatan media ke kilang milik pengeluar rumusan pencetak OKI Data Corporation (OKI), iaitu OKI Electric Industry (Shenzhen) Co Ltd di Xili, Shenzhen, China, baru-baru ini, penulis teruja melihat acara khas iaitu makan malam bersama pemain Kelab Portsmouth FC yang ketika itu bertarung merebut Piala Asia serta menonton perlawanan Portsmouth dan Liverpool di Stadium Hong Kong.

“Kenapa pula kita dibawa OKI menonton bola sepak di Hong Kong?,” tanya seorang teman media yang agak ‘kabur’ tujuan program itu dianjurkan ketika kami menggalas bagasi masing-masing ke kaunter pendaftaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Selepas diberi penerangan, kami dimaklumkan rupa-rupanya OKI sudah dua musim menaja Portsmouth, malah Januari lalu syarikat itu melanjutkan kontrak penajaan sehingga 2009.

“Anda fanatik bola? Jangan lupa sokong Portsmouth dalam perlawanan nanti,” kata Pengurus Negara OKI Data Malaysia, Goh Yin Hwang yang sentiasa memastikan rakan media mendapat layanan baik sepanjang lawatan empat hari itu.

Portsmouth atau lebih dikenali sebagai 'Pompey' di kalangan penyokongnya dianggap skuad ‘giant killer’ yang berpotensi menewaskan kelab ternama seperti Manchester United (MU), Chelsea, Liverpool dan Arsenal.

Pesawat MH72 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang membawa penulis dan rakan media tiba di Hong Kong dalam keadaan cuaca yang agak terik. Sebaik keluar dari balai ketibaan, kami terus dibawa ke Shenzhen yang terletak di tanah besar China.

Perjalanan yang mengambil masa hampir sejam tidak terasa dek pemandangan memukau kerana melalui kawasan tepi pantai dan berbukit. Dari jauh, Hong Kong umpama kota metropolis dengan bangunan mencakar langit termasuk ratusan blok kondominium eksklusif bernilai jutaan dolar Hong Kong.

Hari kedua kami dibawa melawat ke kilang OKI di Shenzhen serta bertemu dengan Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Mikihiko Maeno yang cukup peramah dan tidak lokek berkongsi pengalaman lebih 40 tahun bersama OKI.

Selesai ‘tugasan’ itu, kami tidak sabar-sabar pulang ke Hong Kong kerana mahu bertemu pemain ‘Pompey’ pada majlis eksklusif yang dihoskan seorang bekas Ratu Cantik Hong Kong.

Melangkah ke dewan keraian di tingkat 27, Hotel Park Lane, yang terletak di Gloucester Road, kami terpukau dengan keindahan panorama teluk Hong Kong dengan ratusan kapal dan bot kecil termasuk kapal layar tradisional yang menjadi imej Hong Kong, menyusuri perairan itu.

Leka dengan pemandangan itu, tiba-tiba pengacara mengumumkan ketibaan bintang 'Pompey' di depan mata.

Ketika itu, kami tidak berlengah sebaliknya segera mendekati mereka untuk meminta menurunkan tanda tangan pada jersi Portsmouth yang dihadiahkan OKI kepada kami. Dari jauh, kelibat David James yang tinggi lampai menjawab kemusykilan bagaimana pemain ini begitu handal menangkis bola di gawang.

Sesi bersama wira 'Pompey' tidak lama kerana pemain terikat dengan peraturan ketat dan regim diet, perlu segera kembali berlatih. Kami menunggu sehingga keesokan malam untuk melihat 'Pompey' beraksi menentang Liverpool yang diberi jolokan The Reds di Stadium Hong Kong.

Kami tiba di stadium ketika puluhan ribu penyokong Portsmouth dan Liverpool sudah memasuki stadium berkenaan. Persis perlawanan EPL yang ditonton di televisyen, gelagat penonton terutama penyokong fanatik membuktikan bola sepak akan terus kekal menjadi acara sukan No 1.

Pada malam bersejarah itu, 'Pompey' yang beraksi cemerlang seawal permainan, menundukkan Liverpool walaupun skuad naib juara Piala Eropah ini menurunkan aset berharga seperti Steven Gerard dan Fernando Torres. Ketangkasan David James sekali lagi menyelamatkan Portsmouth yang mendera Liverpool di kancah penalti dengan kemenangan 4-2.

Dalam rintik hujan yang mula membasahi stadium, kami meninggalkan kompleks itu dengan penuh kepuasan dan memori indah di Hong Kong.

Oleh Shamshul Azree Samshir (Yang berkunjung ke Shenzhen)

Berita Harian 15 September 2007

Pelumba fasih bahasa Inggeris selepas pengsan

LONDON: Seorang pelumba motosikal Republik Czech yang tidak tahu sepatah pun bahasa Inggeris, secara tiba-tiba dapat bertutur bahasa itu dengan fasih selepas pengsan akibat kemalangan.

Media tempatan melaporkan, Matej Kus, 18, yang baru tiba sehari ke Britain, sememangnya tidak boleh bertutur bahasa Inggeris tetapi menjadi sebaliknya selepas terbabit dalam kemalangan dengan seorang lagi pemandu dalam satu perlumbaan motosikal.

“Dia bercakap bahasa Inggeris yang sebegitu sempurna tanpa sebarang loghat tertentu,” kata Pengurus pasukannya, Peter Waite yang turut terkejut. – Agensi

Hamdan sekat komunis


KUCHING: Esok genap 44 tahun Sarawak dan Sabah merdeka menerusi Malaysia, tetapi tidak ramai tahu mengenai ancaman yang diterima sehingga Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj terpaksa mengumumkan pembentukan Malaysia lewat dua minggu daripada tarikh ulang tahun kemerdekaan.

Sarawak menerima ancaman hebat daripada Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) iaitu sayap angkatan bersenjata Biro Kedua Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) yang paling berpengaruh ketika itu.

“Sarawak dengan kerjasama polis terpaksa melancarkan perang psikologi untuk memenangi hati dan jiwa anggota komunis kerana ancaman mereka menjejaskan pembangunan meskipun selepas Sarawak mencapai kemerdekaan menerusi Malaysia” kata Tan Sri Hamdan Sirat, 87, anak tempatan pertama dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak selepas merdeka.

Ancaman komunis semakin meningkat ketika Hamdan menjawat jawatan Pesuruhjaya Polis pada 1969 kerana pertubuhan sulit komunis (CCO) dapat mempengaruhi kebanyakan ketua Cina dan taukeh balak di bandar Sibu.

“Ini menyebabkan kerajaan menubuhkan Pemerintahan Keselamatan Kawasan Rajang (Rascom) membabitkan pentadbiran awam, polis dan tentera pada 1972 bagi mengekang ancaman komunis,” katanya.

Selepas penubuhan Rascom, kerajaan berjaya mengurangkan tekanan komunis di kawasan bandar menyebabkan mereka melarikan diri ke hutan bagi mengelak ditangkap.

“Komunis di Bahagian Simanggang pimpinan Bong Kee Chok semakin lemah, sehinggakan Bong menghantar surat untuk menerima tawaran menyerah diri kepada Ketua Menteri ketika itu, Tun Rahman Yaakub,” katanya.

Hamdan berkata, Sarawak menghadapi tahap paling kritikal pada tahun selepas merdeka mulai 1963 hingga 1973 kerana berdepan gerakan konfrontasi dan komunis, menyebabkan pembangunan tidak dapat berjalan lancar.

Berita Harian 15 September 2007

Merealisasikan kemiskinan sifar


KEMISKINAN adalah satu isu subjektif yang sentiasa mendapat perhatian serius kerajaan, tambahan pula ketika negara berada pada landasan terbaik menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Pelbagai projek raksasa seperti pembangunan koridor dilancarkan menjurus kepada usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat miskin terutama di kawasan luar bandar untuk membebaskan mereka daripada kemelut kemiskinan dan sekurang-kurangnya mampu menyara kehidupan keluarga tanpa masalah kewangan yang serius.

Justeru, hampir setiap inci ceruk pedalaman dijelajahi, pelbagai siri bantuan ditaburi bagi memastikan tidak ada lagi penduduk negara ini tergolong dalam kelompok miskin tegar dan menghadapi kepayahan untuk mencari sesuap nasi.

Jika diamati pelbagai projek yang digerakkan kerajaan, termasuk yang terbaru di Koridor Utara, jelas betapa kerajaan begitu serius menangani isu terbabit dengan strategi menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup tanpa terus bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata.

Malah, ia dijadikan sasaran untuk menggalakkan masyarakat luar bandar terutama golongan belia terus setia berkhidmat di kampung mereka sendiri seterusnya mengurangkan terlalu banyak penghijrahan ke kawasan bandar yang selama ini dilabelkan kononnya sebagai syurga kekayaan negara.

Namun, tanpa disedari sebenarnya ramai masyarakat bandar tersepit dengan kemelut kewangan sehingga kadangkala boleh ditakrif lebih miskin daripada masyarakat yang tinggal jauh di ceruk pedalaman.

Dengan gaji sebanyak RM2,000 di bandar kononnya mereka sudah dikira cukup senang, tetapi hakikatnya gaji sebanyak itu hanya cukup untuk menampung perbelanjaan asas dan tidak keterlaluan jika dikatakan ‘sekadar cukup makan’, tambahan jika terpaksa tinggal di tengah bandar raya seperti Kuala Lumpur.

Hakikatnya, pernahkah mana-mana kementerian atau agensi membuat tinjauan atau kajian khusus sejauh mana kebenaran realiti ini kerana jika diamati panduan garis kemiskinan di Kuala Lumpur, mereka yang memperoleh pendapatan seisi rumah bawah RM713 baru layak dikategorikan sebagai miskin, manakala jika pendapatan seisi rumah bawah RM373 pula dikategorikan sebagai miskin tegar.

Secara logiknya, mampukah sesebuah keluarga hidup di tengah bandar raya seperti Kuala Lumpur jika pendapatan mereka hanya sekitar RM800. Adakah pendapatan sebanyak itu cukup untuk menyara kehidupan mereka termasuk untuk membayar sewa rumah, kos pengangkutan dan lain-lain kos di bandar yang boleh dikatakan segala-galanya perlu dibayar?

Jika kos sewa rumah saja sudah mencecah lebih RM400, bagaimana baki sebanyak RM400 lagi sama ada cukup untuk menampung perbelanjaan lain? Namun, mereka tidak layak dikategorikan sebagai miskin kerana pendapatan melebihi RM713. Justeru, adakah mereka layak mendapat bantuan seperti dinikmati rakyat miskin.

Itu jika diambil kira kes masyarakat yang benar-benar kritikal sedangkan keadaan itu sebenarnya dihadapi kebanyakan masyarakat di kawasan berprestasi tinggi termasuk Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru.

Justeru, rasanya sudah sampai masa kerajaan turut membuka mata melihat senario dihadapi masyarakat di bandar juga supaya istilah terlepas pandang tidak berlaku dan hasrat untuk menjadikan rakyat negara ini bebas daripada masalah kemiskinan benar-benar dapat direalisasikan.

Satu mekanisme perlu difikirkan supaya rakyat yang menetap dan bekerja di bandar negara ini dapat setanding dengan masyarakat bandar di negara maju lain di mana kualiti hidup mereka benar-benar berada pada satu tahap yang membanggakan.

Oleh Azrul Affandi Sobry

Berita Harian 17 September 2007

Pelan pengurusan estet had penghijrahan belia


PROJEK pembangunan di kawasan luar bandar sangat penting bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat terbabit, sekali gus mengelakkan terlalu banyak penghijrahan ke kawasan bandar sehingga mendatangkan implikasi lain seperti peningkatan kos sara hidup di bandar besar.

Pengarah Projek Khas Koridor Utara, Datuk Mohd Shukri Baharom, berkata pembangunan tidak boleh terlalu bertumpu kepada projek dalam bandar semata-mata kerana ia bakal menjadikan masyarakat luar bandar terus terpinggir, selain menyebabkan lebih ramai warga belia berhijrah ke bandar untuk mencari sumber pendapatan tetap.

Beliau berkata, apabila terlalu ramai penghijrahan ke bandar berlaku, secara tidak langsung akan menyebabkan kos sara hidup tinggi lantaran permintaan terhadap kediaman, pengangkutan dan sebagainya turut bertambah setiap masa.

Justeru, katanya, bagi mengelakkan keadaan seumpama itu berlaku, satu mekanisme seperti pelaksanaan Tindakan sosioekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Koridor Utara) perlu dilaksanakan bagi menyediakan lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk luar bandar.

"Apabila kita mampu menyediakan peluang pekerjaan secara tetap di kawasan mereka, pastinya penghijrahan dapat dikurangkan dan ia secara tidak langsung mengurangkan kadar kesesakan penduduk bandar. Kos sara hidup di bandar juga akan berkurangan.

"Apa yang mampu mengehadkan penghijrahan adalah menyediakan peluang pekerjaan tetap di luar bandar dan pekerjaan itu pula mesti menguntungkan, barulah ia mampu menarik minat masyarakat luar bandar terus kekal dan bekerja di kampung mereka sendiri," katanya.

Mengulas isu kemiskinan, beliau berkata, kemiskinan masih menjadi satu isu luar bandar, manakala di bandar ia adalah sesuatu yang bersifat subjektif kerana sukar untuk membuat satu garis pengukur kemiskinan terutama di bandar besar.

Bagaimanapun, beliau berkata, sudah sampai masanya satu penilaian secara terperinci dilakukan bagi mengenal pasti kaedah paling tepat melabelkan sesuatu keluarga sebagai miskin terutama di bandar.

Katanya, berbeza dengan kawasan di luar bandar, kemiskinan di sana lebih terserlah dengan menilai keadaan sekeliling mereka seperti rumah, pakaian dan infrastruktur lain yang jelas kelihatan serba kekurangan.

Namun, katanya, hakikat yang tidak disedari banyak pihak ialah masyarakat luar bandar yang kelihatan secara fizikal tergolong sebagai keluarga miskin sebenarnya mempunyai aset berharga iaitu tanah yang tidak diusahakan secara terancang bagi memperoleh keuntungan daripadanya.

Justeru, projek Koridor Utara memberi penekanan kepada keadaan itu dengan menyediakan pelan pengurusan estet iaitu projek yang bakal mampu memberi pendapatan bulanan kepada pemilik tanah di samping memperoleh faedah daripada hasilnya.

Mohd Shukri yang juga Pengarah Bahagian Tenaga dan Koridor Utara Sime Darby Berhad, berkata selain itu, projek berkenaan turut menyediakan pelbagai peluang lain seperti projek tanaman jagung antara musim, pusat latihan kemahiran (bidang pertanian) serta kilang pemprosesan jagung di kawasan Koridor Utara.

"Projek yang dirancang lebih berfokus untuk menarik lebih ramai golongan belia kekal bekerja di sektor pertanian dalam kampung mereka sendiri. Hal ini kerana ramai golongan belia di kawasan Koridor Utara tercicir daripada mendapat pendidikan tinggi, malah difahamkan 10,000 pelajar tidak menyambung pelajaran selepas sekolah rendah dan 26,000 lagi terkandas selepas Tingkatan Tiga.

"Sime Darby akan memastikan semua projek dilaksanakan dengan berkesan tambahan pula Sime Darby mempunyai perkongsian 30 peratus dalam pasar raya Tesco, sekali gus membolehkan hasil daripada projek Koridor Utara akan dapat dipasarkan dengan lebih berjaya. Kami takkan biarkan hasil itu dijual sendiri oleh petani seperti menjualnya di tepi jalan," katanya.

Mengulas isu keperitan hidup yang dialami masyarakat bandar, beliau berkata, bukan semua penghijrahan masyarakat luar bandar berjaya mencapai apa yang mereka kehendaki, malah ada yang terpaksa bersaing untuk mendapat peluang kehidupan selesa di bandar besar.

Namun, katanya, istilah kemiskinan tidak sesuai digunakan untuk menggambarkan kehidupan masyarakat bandar kerana apa yang dialami mereka adalah satu keperitan hidup lantaran sering beralasan tidak mempunyai peluang pekerjaan.

"Apa yang pasti, kemasukan pekerja asing ke kawasan bandar terus bertambah sekali gus menunjukkan masyarakat luar berasakan bandar adalah kawasan yang sesuai membina kehidupan berjaya, jauh sekali meletakkan alasan peluang pekerjaan di bandar terhad," katanya.

Berita Harian 17 September 2007

Bijak urus belanja mampu elak tergolong kelompok miskin


KEMISKINAN yang dialami masyarakat bandar besar kebanyakannya disebabkan oleh pilihan gaya hidup mereka sendiri yang terlalu mengutamakan kehendak sehingga meletakkan diri mereka dalam keadaan bermasalah serta tersepit dengan beban kewangan di luar kemampuan.

Pengarah Institut Pembangunan Malaysia (MDI), Profesor Dr Noor Azlan Ghazali, berkata jika diperincikan, masyarakat bandar selalunya gagal menguruskan kewangan dengan baik dan berbelanja di luar kemampuan, tetapi mendakwa berada dalam dilema kewangan pada setiap masa.

Beliau berkata, keadaan kewangan sebenarnya boleh ditentukan oleh individu sendiri dengan membuat pilihan bijak dalam menguruskan perbelanjaan dan bukan mengharapkan pelbagai bantuan daripada kerajaan bagi mengeluarkan mereka daripada kemiskinan buatan sendiri.

"Banyak cara untuk mengelakkan diri daripada tergolong dalam kelompok masyarakat miskin. Antaranya, pilih kawasan yang sewa rumahnya murah, guna pengangkutan awam, makan secara berpada-pada di tempat lebih murah dan jangan terlalu bermewah dengan kebendaan jika tidak mampu.

"Tidak salah sekiranya individu bekerja di Bangsar memilih menyewa di Sungai Buloh kerana sewa rumah di situ lebih murah. Apa salahnya menggunakan pengangkutan awam sekiranya kemudahan itu ada disediakan sehingga destinasi yang dituju," katanya.

Beliau memberi contoh, Jakarta umpamanya menggunakan slogan 'siapa suruh datang Jakarta' bagi menyedarkan masyarakat yang datang ke bandar itu tanpa hala tuju sehinggakan tersepit dalam dilema kemiskinan selama berada di situ.

Noor Azlan berkata demikian bagi mengulas dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan kehidupan di bandar lebih menjurus kepada masalah kemiskinan berbanding luar bandar, lantaran perbelanjaan bagi menguruskan keperluan seharian lebih tinggi, malah boleh dikatakan segala apa yang diperlukan di bandar perlu dibayar.

Tanpa menafikan tanggapan itu, beliau berkata, memang benar secara realitinya masyarakat bandar perlu memperuntukkan lebih banyak perbelanjaan berbanding luar bandar kerana pelbagai faktor.

Antaranya, kos sewa rumah, pengangkutan, perubatan dan gaya hidup di bandar jauh lebih tinggi daripada masyarakat luar bandar, malah penggunaan setiap ringgit di bandar juga jauh berbeza berbanding luar bandar.

Namun, katanya, takrifan kemiskinan di bandar dan luar bandar adalah sesuatu yang berbeza kerana penduduk luar bandar pula menghadapi masalah jaringan kemudahan, malah berkemungkinan terpaksa mengeluarkan belanja lebih tinggi bagi mendapatkan sesetengah barang atau perkhidmatan.

"Contohnya, masyarakat bandar yang menetap di kawasan rumah pangsa mempunyai kemudahan perubatan yang hanya beberapa meter dari rumah sedangkan ada penduduk luar bandar yang terpaksa berkenderaan berpuluh-puluh kilometer untuk ke klinik berhampiran. Secara tidak langsung, kos pengangkutan juga akan meningkat.

"Barang yang dijual di bandar juga lebih murah. Contohnya, penduduk bandar boleh membeli setin susu atau air mineral dengan harga borong di pasar raya berbanding kedai runcit di luar bandar yang semestinya menjual dengan harga runcit serta mahal," katanya.

Justeru, katanya, kemiskinan bukan sekadar dinilai berdasarkan kemampuan kewangan semata-mata, malah lebih meluas kepada pelbagai faktor lain termasuk kemampuan memperoleh kemudahan meliputi perubatan, pendidikan dan pengangkutan.

Bagaimanapun, Noor Azlan mengakui wujud masyarakat bandar yang tersepit dengan kemiskinan di tengah bandar raya sehingga terpaksa bersusah payah melengkapi keperluan makanan dan kehidupan seharian.

Namun, katanya, apabila berbicara berkenaan isu kemiskinan, ia masih menjadi satu agenda utama yang lebih dihadapi masyarakat luar bandar lantaran masih wujud kelompok miskin tegar di beberapa kawasan luar bandar negara ini.

Selain itu, beliau juga menyifatkan persepsi masyarakat terhadap kemiskinan selama ini begitu sempit kerana memandang kemiskinan hanya secara fizikal iaitu melabelkan sesebuah keluarga sebagai miskin hanya dengan melihat keadaan rumahnya sedangkan hakikat sebenar ramai lagi keluarga miskin tidak diketahui kerana tidak terlihat pada mata kasar.

Mengulas mengenai peranan setiap kementerian dalam menangani isu kemiskinan, beliau berkata, hakikatnya penduduk luar bandar agak beruntung dengan pelbagai projek kerajaan bagi melonjakkan kualiti hidup mereka serta ada kementerian khusus iaitu Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk memfokuskan isu kemiskinan di luar bandar.

Namun, keadaan itu berlainan di bandar kerana tidak ada kementerian khusus secara holistik menangani isu kemiskinan di bandar berikutan kementerian seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan umpamanya lebih memfokuskan isu pembangunan berbanding kemiskinan.

Beliau juga mencadangkan supaya sistem pengangkutan awam dapat dipertingkatkan bagi membolehkan masyarakat bandar yang tidak mampu tinggal di tengah kawasan bandar boleh memilih untuk tinggal di luar bandar, namun mampu berulang alik ke tempat kerja menggunakan kemudahan pengangkutan awam menghubungkan setiap kawasan.

"Bagaimanapun, perkara pokok yang perlu diberi keutamaan oleh semua individu ialah mereka harus belajar menangani masalah dan kemelut kewangan mereka sebelum mengharapkan kerajaan menghulurkan bantuan," katanya.

Berita Harian 17 September 2007

Dimensi berbeza keperitan kerja di bandar, pedalaman


PENDAPATAN sebanyak RM2,500 sebulan menyajikan dimensi yang sangat berbeza antara guru yang menetap di luar bandar dan guru yang terpaksa berdepan dengan kesesakan serta kerumitan hidup di tengah bandar besar seperti Subang Jaya.

Rintihan keluhan guru di bandar lebih berat nadanya kerana terpaksa berdepan pelbagai jenis perbelanjaan wajib yang tidak boleh dielakkan, malah untuk melengkapkan keperluan hidup, ada di kalangan mereka terpaksa melakukan kerja tambahan seperti mengajar tuisyen atau memandu teksi.

Berbeza dengan guru kawasan kampung atau pedalaman yang mampu tersenyum dan menguruskan kewangan dengan baik, malah gaji yang diperoleh setiap bulan ada lebihan untuk disimpan sebagai bekalan masa depan.

Pengalaman itu dikongsi dua guru yang menetap dan mengajar di dua kawasan berbeza bagi menggambarkan sendiri betapa nilai RM2,500 amat berbeza bagi dua kawasan iaitu bandar dan luar bandar.

Guru di Sekolah Kebangsaan SS 19 Subang Jaya, Azizul Shah Abdul Rahman, berkali-kali mengeluh ketika menceritakan keperitan yang dilalui apabila terpaksa mengajar di tengah bandar mewah seperti Subang Jaya sehinggakan beliau terpaksa memilih untuk tinggal agak jauh iaitu di Shah Alam untuk mengelakkan sewa sangat mahal sehingga mencecah RM1,200 jika ingin tinggal berhampiran sekolah.

Namun, pilihan untuk tinggal di kawasan yang lebih rendah kadar sewanya bukan jaminan untuk berjimat kerana beliau terpaksa pula menghadapi tambahan perbelanjaan akibat kos minyak dan tol yang terpaksa ditanggung setiap kali berulang alik ke sekolah.

Dengan pendapatan RM2,400 yang dikatakan sebagai satu pendapatan yang cukup lumayan bagi masyarakat luar bandar, Azizul pula mendakwa kehidupannya sebagai sangat perit dan menyesakkan.

Manakan tidak, selepas diambil kira semua perbelanjaan termasuk sewa rumah sehingga RM800, beliau terpaksa mengeluarkan satu jumlah lebih tinggi daripada pendapatannya sendiri sekali gus terpaksa mengharap simpati isteri bagi membantu mengukuhkan ekonomi rumah tangga.

"Penat atau tidak saya terpaksa juga melakukan kerja luar seperti mengajar tuisyen. Jika tidak, ekonomi saya pasti kucar kacir dan kehidupan saya akan jadi lebih tersepit.

"Di bandar sebegini, gaji yang dilihat banyak sebenarnya terlalu sedikit, malah mereka yang berpendapatan lebih RM2,000 sebulan sebenarnya juga boleh dilabelkan sebagai miskin kerana perbelanjaan melebihi pendapatan mereka termasuk hutang yang banyak," katanya.

Keadaan berbeza apabila seorang guru di Sekolah Kebangsaan Teloi Kanan, Azmi Ibrahim menceritakan keadaan peruntukan perbelanjaan dan taraf ekonominya selama ditempatkan mengajar di kawasan Felda jauh di kawasan daerah Baling, Kedah.

Baginya, jika hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM1,000 sekalipun, ia tidak akan mendatangkan masalah untuk meneruskan kehidupan di kawasan terbabit lantaran kos sara hidup yang jauh lebih rendah berbanding kehidupan di bandar.

Gaji yang diperolehnya setiap bulan sudah mencukupi untuk menyara seisi keluarga tanpa perlu mengharapkan ihsan atau gaji isteri, malah apabila dihitung perbelanjaan bulanan, gajinya masih berbaki sebanyak hampir RM500.

Cuma, katanya, penduduk di luar bandar terpaksa mengeluarkan belanja lebih tinggi bagi kos perubatan kerana tidak ada perkhidmatan klinik swasta kampung sehinggakan mereka terpaksa memandu agak jauh ke pekan berhampiran jika ingin mendapat khidmat perubatan yang lebih berkualiti.

Berita Harian 17 September 2007

Memantapkan pengajian tinggi


BAJET 2008 menyediakan landasan kondusif bagi memacu pertumbuhan dan kemajuan sektor pengajian tinggi, selari dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang dilancarkan Perdana Menteri, 27 Ogos lalu.

Jika dinilai secara menyeluruh, ketiga-tiga strategi Bajet 2008 mempunyai impak terhadap pengajian tinggi dalam pelbagai aspek, khususnya penggalakan dari segi dana penyelidikan dan kemudahan pengajian kepada pelajar.

Menerusi strategi pertama iaitu mempertingkat daya saing negara, dana pelaburan strategik akan terus diberikan termasuk universiti swasta bertaraf antarabangsa. Sebagai contoh, Bajet 2007 lalu memperuntukkan RM200 juta sebagai pemangkin pelaburan baru dalam sektor keutamaan di Wilayah Pembangunan Iskandar yang berjaya menggamit sektor swasta untuk melabur lebih RM1 bilion dalam projek pendidikan, seperti Educity dan universiti swasta.

Bagi menjana pelaburan swasta, Bajet 2008 menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta lagi.

Strategi Bajet 2008 bersifat selektif dalam pemberian insentif utama. Sehubungan itu, dalam usaha membangunkan industri dan keusahawanan berasaskan bioteknologi, penyediaan infrastruktur dan kemudahan teknologi akan diberi keutamaan dengan peruntukan RM236 juta menerusi program perolehan teknologi, pembangunan pusat penyelidikan biodiversiti dan pusat komersialisasi bioteknologi, serta penyelidikan sebatian antikanser.

Selain itu, kerjasama syarikat bioteknologi berstatus Bionexus dan universiti tempatan akan terus diperteguhkan menerusi guna sama makmal dan kemudahan penyelidikan di universiti tempatan.

Strategi kedua Bajet 2008 adalah teras kepada pengembangan sektor pengajian tinggi menerusi penjanaan modal insan berkualiti yang menjadi antara faktor terpenting bagi memastikan Malaysia mencapai matlamat menjadi sebuah negara maju dengan rakyat minda kelas pertama.

Sektor pengajian tinggi diperuntukkan RM12 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek dan program khas, antaranya:

> Meningkatkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan di empat universiti penyelidikan;

> Meningkatkan peruntukan kepada Universiti Teknologi Mara bagi mencapai sasaran 200,000 mahasiswa menjelang 2010;

> Menaik taraf serta memperluaskan Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Darul Iman dan Universiti Pertahanan, dan

> Menjenamakan semula kolej komuniti menerusi penyediaan kursus pada peringkat diploma, menubuhkan kolej komuniti baru dan menggiatkan kerjasama dengan syarikat swasta.

Pemantapan institusi pengajian tinggi memerlukan tumpuan dan dana mencukupi khususnya dalam bidang kritikal dan bernilai tinggi, seperti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (3P). Menerusi 3P, program pasca ijazah peringkat sarjana dan kedoktoran dapat dilaksanakan dengan lebih mantap, di samping menjulang reputasi profesor dan kemasyhuran universiti tempatan di persada antarabangsa.

Sehubungan itu, Bajet 2008 mencadangkan peruntukan Dana Sains sebanyak RM230 juta dan RM300 juta Dana Tekno yang dikawal selia Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Sejumlah RM546 juta diperuntukkan untuk melaksanakan program R&D institusi penyelidikan seperti Mardi, Sirim dan FRIM.

Perlu juga disebutkan bahawa pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diperuntukkan RM200 juta dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Namun demikian, peruntukan itu diagihkan menerusi sistem bidaan yang kompetitif dalam bidang pengajian fundamental.

Dalam hal ini, peruntukan Dana Sains dan Dana Tekno itu adalah sumber utama kepada aktiviti 3P di universiti tempatan ketika ini. Adalah diharapkan komuniti akademik supaya Bajet 2008 dapat memberi peruntukan tambahan terus kepada KPT seperti peruntukan khas yang disalurkan terus kepada institusi penyelidikan berjumlah RM546 juta itu.

Insentif kepada aktiviti 3P memang diperlukan bagi memancing minat dan tumpuan komuniti akademik supaya lebih produktif dan kompetitif. Dalam hal ini, Bajet 2008 turut mencadangkan insentif dalam bentuk royalti yang lebih lumayan kepada penyelidik yang berjaya mengkomersialkan produk 3P.

Sehubungan itu, pembahagian royalti ditingkatkan daripada 50 peratus kepada 80 peratus kepada penyelidik, dan selebihnya kepada institusi penyelidikan atau universiti.

Untuk memantapkan lagi penyelarasan program pengkomersialan menerusi perolehan harta intelek, lebih banyak Pejabat Pelesenan Teknologi (TLO) akan ditubuhkan di institusi penyelidikan dan universiti tempatan.

Menerusi pelbagai dana 3P dan insentif kepada penyelidik, Bajet 2008 dijangka akan menjadikan universiti tempatan lebih produktif dalam menghasilkan harta intelek, selain memantapkan lagi program pengijazahan peringkat pengajian pasca ijazah dan pembinaan minda kelas pertama.

Insentif berbentuk kewangan ini juga dijangka akan menarik lebih ramai golongan muda terpelajar untuk menyertai sektor pengajian tinggi sama ada sebagai staf akademik atau penyelidik.

Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menambah bilangan pelajar tajaan daripada 5,000 setahun kepada 10,000 pelajar mulai 2008. Demikian juga Mara. Ketika ini, lebih 90,000 pelajar ditaja JPA dan Mara di universiti tempatan.

Di samping itu, elaun sara hidup pelajar akan dinaikkan di semua peringkat pengajian tinggi tempatan, termasuk kursus persediaan dan kursus bahasa, antara 23 dan 84 peratus bermula semester pertama sesi 2007/8.

Peningkatan elaun sara hidup itu akan juga dinikmati pelajar tajaan di luar negara. Elaun sara hidup pelajar di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada sehingga 97 peratus, iaitu hampir dua kali ganda, berkuatkuasa September 2007 selari dengan peningkatan kos sara hidup.

Salah satu keistimewaan Bajet 2008 ialah penekanan kepada pendidikan sepanjang hayat, sama ada menerusi program pengijazahan atau program pengajian lanjutan dan profesional. Sehubungan itu, Bajet 2008 memperuntukkan insentif pelepasan cukai sehingga RM5,000 ke atas yuran pengajian diperluaskan kepada semua bidang di peringkat pasca ijazah.

Dalam konteks globalisasi, sektor pengajian tinggi tempatan perlu bersaing dari segi kualiti graduan, produk 3P dan sumbangan akademik lain. Ketika ini tumpuan aspek kualiti diberikan terhadap pengiktirafan program akademik oleh pelbagai agensi pengiktirafan dan badan profesional peringkat antarabangsa.

Selain itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed menggariskan strategi untuk universiti turut prihatin dan memberi tumpuan kepada ‘ranking’ yang dijalankan pada peringkat antarabangsa, khususnya Times Higher Education Suppliments (THES).

‘Ranking’ itu mendapat liputan dan dokongan meluas di kalangan ahli akademik, calon pelajar dan penaja geran penyelidikan. Memang banyak pihak yang mempertikaikan kaedah penilaian ‘ranking’ berkenaan, namun setakat ini kaedah itulah yang paling realistik dan diterima majoriti golongan akademik.

Bajet 2008 bukan saja manifestasi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, malah manifestasi gagasan untuk memartabatkan budaya ilmiah kelas pertama, sekali gus mengembalikan status ‘menara gading’ di universiti tempatan!

Prof Datuk Dr Zaini Ujang adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia.

Berita Harian 17 September 2007

Kursus jarak jauh AeU lonjak modal insan Asia


PENDIDIKAN adalah sesuatu yang dianggap penting oleh masyarakat Barat terutama negara maju sejak zaman dulu lagi. Bagi mereka, mengejar ilmu pengetahuan adalah fenomena seumur hidup dan selagi berkemampuan dan masih terdaya, selagi itulah mereka akan meraih ilmu.

Menimba ilmu juga bukanlah bererti perlu mengikuti sistem persekolahan yang formal dan sebahagian besar daripada mereka lebih gemar meneruskan pelajaran dalam bidang tertentu secara pengkhususan dari rumah atau secara jarak jauh.

Trend itu kini semakin diterima masyarakat di benua lain termasuk Asia. Seperti orang Barat, mereka juga ingin mendalami sesuatu ilmu secara berterusan tidak kira sama ada ia dapat menghasilkan sekeping sijil sebagai tanda pengiktirafan kepada bidang yang mereka pelajari atau semata-mata ingin menimba pengalaman atau mengikuti latihan sambil bekerja.

Suasana pembelajaran secara jarak jauh itu diterima sebagai pendidikan formal di hampir semua universiti di negara ini sejak beberapa tahun lalu dan sehingga kini begitu ramai sekali pekerja berpeluang melanjutkan pelajaran mereka dan lulus sebagai graduan menerusi pendidikan jarak jauh atau PJJ.

Kini bidang pendidikan jarak jauh maju setapak lagi dan tidak lama lagi Malaysia akan mempeloporinya pada peringkat antarabangsa menerusi Asia e-Universiti (AeU). Buat permulaan, universiti itu akan memperkenalkan kursus eksekutif jangka pendek bagi memberi latihan kepada pekerja di sektor industri.

AeU juga akan menawarkan semua kursus lain seperti yang ada di universiti tempatan pada peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD). Tujuan utama universiti itu adalah bagi membolehkan lebih ramai warga Asia melanjutkan pelajaran selepas bekerja.

Seperti program jarak jauh yang lain, ia juga menyediakan peluang kedua bagi mereka yang belum memiliki ijazah untuk meningkatkan kelulusan akademik masing-masing. Lebih menarik lagi ia memberi peluang keseronokan belajar kepada mereka yang sudah terlepas peluang untuk berbuat demikian ketika berusia lebih muda dulu atau tidak berkesempatan melanjutkan pelajaran kerana keadaan sekeliling tidak mengizinkan pada ketika itu, contohnya ketidakstabilan politik dan ekonomi, peperangan dan sebagainya.

Presiden AeU, Profesor Datuk Dr Ansary Ahmed, berkata penubuhan universiti itu adalah idea Malaysia yang dikemukakan dalam rangka Kerjasama Dialog Asia (ACD) yang diasaskan oleh negara Asia dalam usaha mencari penyelesaian kepada krisis kewangan yang berlaku pada 1998.

Ketika itu, setiap negara anggota diminta mengemukakan cadangan untuk membantu membangunkan kembali kedudukan ekonomi negara anggota dialog dan Malaysia berpendapat pendidikan adalah elemen penting bagi membangunkan semula masyarakat dan negara.

Menyedari hakikat itulah idea yang pada asalnya hanya untuk menubuhkan sebuah pusat pembelajaran secara elektronik (e-learning) itu diterima baik oleh negara anggota dan selepas berbincang secara panjang lebar dalam beberapa siri mesyuarat yang menyusul, akhirnya idea pusat e-learning itu bertukar menjadi sebuah universiti.

Idea itu sejajar dengan dasar Malaysia dalam bidang pendidikan seperti digariskan di dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang teras kelimanya ialah memperkasakan pengantarabangsaan dan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi pada peringkat antarabangsa.

Pada Disember tahun lalu, mesyuarat Kabinet di Putrajaya meluluskan penubuhan universiti berkenaan dan bersetuju menyediakan peruntukan permulaan sebanyak RM100 juta. Selepas ini universiti itu akan memperoleh sumber kewangan daripada sektor swasta dan menerusi program yang dijalankan.

AeU yang akan menjadi universiti global pertama di negara ini dijangka akan menawarkan pelbagai program dengan kerjasama pusat pengajian tinggi sedia ada di semua 30 negara anggota ACD.

Konsep globalnya bermakna akreditasinya juga akan dikeluarkan pada peringkat antarabangsa di samping mendapat pengiktirafan dalam negara sendiri.

Bidang pendidikan, seperti sukan melampaui pemahaman politik dan adalah antara unsur utama yang boleh menghubungkan di antara manusia dengan manusia di benua Asia. AeU kini sudah empat bulan beroperasi pada peringkat inkubator di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan mendapat bantuan OUM termasuk kakitangan dan beberapa perbelanjaan awal.

Universiti ini, menurut Dr Ansary mengadakan dua kaedah pengajian iaitu kaedah biasa dengan elemen e dan secara terbuka dan kaedah jarak jauh. Nisbah pelajar ialah satu pelajar biasa bagi empat pelajar jarak jauh.

Malaysia kini sudah menjadi tumpuan pelajar dari Asia Barat, China, Afrika, Indonesia serta negara lain yang kini berjumlah 55,000 orang. Jumlah itu dijangka akan meningkat kepada 100,000 menjelang 2010.

Memandangkan permintaan tinggi dari negara Asia, sudah sewajarnya kita meningkatkan lagi keupayaan dalam penyediaan infrastruktur pendidikan bermutu tinggi, fleksibel, bersifat antarabangsa dan di dalam lingkungan kemampuan pelajar di rantau ini.

Satu aspek penting yang dititikberatkan oleh AeU adalah konsep Asianya, iaitu pelajarnya mempunyai pilihan untuk belajar bahasa dan budaya negara Asia walaupun bahasa Inggeris akan menjadi bahasa pengantarnya.

Dr Ansary berkata, AeU akan menubuhkan lapan sekolah pengajian dalam masa 15 tahun mencakupi pelbagai bidang seperti ditawarkan oleh universiti tempatan lain. Bagi merapatkan jurang tahap pendidikan di antara negara yang lebih maju di rantau ini, negara anggota ACD juga bersetuju untuk menggunakan kaedah membahagikan negara yang ditawarkan pengajian jarak jauh ini mengikut kemampuan masing-masing.

Contohnya, Jepun, Korea dan Singapura dalam satu kelompok, Malaysia, China dan India dalam kelompok yang lain, manakala negara yang tidak mempunyai kedudukan ekonomi yang begitu baik seperti Nepal, Laos, Bhutan dan Myanmar dalam satu lagi kelompok.

Kaedah yang digunakan mengikut permintaan pasaran di negara berkenaan dan sasaran AeU sudah tentunya negara yang belum mempunyai kemudahan pengajian tinggi yang mencukupi.

Kursus yang dijalankan boleh diakses dari negara mereka sendiri ataupun di kampus induknya di Malaysia.

Ada kemungkinan beberapa kampus cawangan akan ditubuhkan seperti di China dan Asia Barat yang ramai pelajar berpotensi mengikuti program ini.

Dr Ansary berkata, Korea berpengalaman luas dalam bidang e-learning dan kini mempunyai 17 universiti maya yang pastinya boleh dipelajari oleh Malaysia. Selain itu, kita juga mendapat kerjasama daripada sebuah syarikat dari United Kingdom yang mempunyai kemahiran menganjurkan kursus jangka pendek bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk dalam bahasa Thai dan Indonesia.

Antara syarikat multinasional yang akan memberi kerjasama pada peringkat awal pula ialah Universiti Motorola yang berpusat di Amerika Syarikat yang mempunyai cawangannya di Asia dan akan membantu AeU dalam penawaran kursus jangka pendek.

Kumpulan pertama pelajar pada peringkat sarjana muda dan lebih tinggi dijangka akan dimulakan September tahun depan.
Oleh Razak Rashid Ghows
Berita Harian 17 September 2007